RENCANA | Pasca Kongres 2026: PKR Terengganu perlu perkasa task force, jangan hanya bergerak musim pilihan raya

DR HAJI AZRIE AZEH

Kongres PKR 2026 di Melaka tidak wajar dilihat semata-mata sebagai gelanggang memperteguh kesatuan politik, memperbaharui mandat kepimpinan dan merumuskan haluan perjuangan parti. 

Lebih daripada itu, kongres tersebut sewajarnya dijadikan titik anjakan strategik untuk melakukan penilaian yang lebih kritis, objektif dan menyeluruh terhadap keupayaan organisasi menghadapi landskap politik yang semakin kompleks, dinamik serta kompetitif.

Dalam kerangka tersebut, setiap pandangan, gagasan dan hujah yang dikemukakan oleh para perwakilan tidak seharusnya berakhir sebagai wacana di pentas kongres semata-mata. 

Sebaliknya, pandangan tersebut perlu didokumentasikan, diteliti secara sistematik dan, jika bersesuaian, diterjemahkan kepada agenda penyelidikan, penggubalan dasar serta tindakan organisasi. 

Sesebuah parti politik yang matang bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk mendengar suara anggotanya, tetapi turut mempunyai kapasiti institusi untuk menilai, menapis dan menginstitusikan pandangan tersebut menjadi pengetahuan serta dasar yang bernilai tambah.

Dalam konteks semasa, penegasan Perdana Menteri bahawa kestabilan dan kemakmuran rakyat perlu terus menjadi pertimbangan utama.

Ini termasuk pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Umno, membawa implikasi strategik yang jauh melampaui persoalan hubungan antara parti.

Perkara tersebut wajar didekati melalui kerangka pemikiran yang rasional, objektif dan berasaskan kepentingan awam. 

Perbincangan serta rundingan secara ilmiah perlu diberikan ruang yang sewajarnya.

Ia perlu dilaksanakan dengan kadar segera tanpa dipengaruhi sentimen, prasangka atau pertimbangan emosional yang boleh menjejaskan keupayaan organisasi membuat keputusan secara rasional.

Pendirian untuk mengutamakan kestabilan memperlihatkan suatu prinsip politik yang menempatkan kepentingan rakyat dan negara sebagai asas pertimbangan. 

Dalam konteks ini, keputusan politik tidak sewajarnya didorong semata-mata oleh sentimen, kekecewaan, kemarahan atau percaturan politik jangka pendek. 

Sebaliknya, setiap keputusan perlu dinilai berdasarkan implikasinya terhadap kestabilan pemerintahan, keberkesanan tadbir urus, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam suasana politik yang memperlihatkan perubahan serta penjajaran semula hubungan antara parti di peringkat negeri, termasuk perkembangan hubungan BN dengan Perikatan Nasional (PN), pendirian di peringkat Kerajaan Persekutuan memperlihatkan bahawa kerjasama politik perlu terus dinilai dalam kerangka kepentingan strategik negara, kestabilan institusi dan keberkesanan pentadbiran.

Namun demikian, kestabilan di peringkat nasional tidak harus diterjemahkan sebagai justifikasi untuk organisasi parti mengambil sikap pasif atau berpuas hati dengan status quo. 

Sebaliknya, kestabilan politik memberikan ruang yang lebih kondusif untuk parti memperkukuh institusi, meningkatkan kapasiti organisasi dan membangunkan pendekatan politik yang lebih berasaskan data, ilmu serta pemahaman mendalam terhadap perubahan sentimen masyarakat.

Atas pertimbangan tersebut, PKR Terengganu wajar mengambil langkah pasca-Kongres dengan menubuhkan serta memperkukuh Sekretariat Special Task Force KeADILan.

Langkah itu sebagai satu instrumen strategik organisasi yang berfungsi secara tersusun dalam bidang pengurusan organisasi, penyelidikan, analisis politik, komunikasi strategik, pengurusan data, pembangunan kepimpinan serta pengukuhan akar umbi.

Task Force sebagai instrumen transformasi organisasi

Dalam politik kontemporari, kekuatan sesebuah parti tidak lagi memadai diukur melalui jumlah keanggotaan, bilangan cabang atau pencapaian pilihan raya semata-mata. 

Indikator yang lebih substantif ialah sejauh mana sesebuah organisasi mempunyai kapasiti institusi, kecekapan pengurusan, ketahanan organisasi, keupayaan menghasilkan pengetahuan serta kebolehan menterjemahkan aspirasi politik kepada penyelesaian yang dirasakan manfaatnya oleh rakyat.

Oleh itu, Task Force KeADILan tidak seharusnya diwujudkan sebagai satu lagi lapisan birokrasi parti yang berpotensi bertindih dengan struktur sedia ada. 

Sebaliknya, ia perlu direka bentuk sebagai mekanisme penyelarasan strategik dan pusat penggerak organisasi yang menggembleng tenaga, kepakaran, pengalaman politik dan kapasiti intelektual kumpulan reformis bersama seluruh jaringan kepimpinan parti.

Penggemblengan tersebut penting kerana pengalaman politik merupakan aset organisasi yang tidak boleh dipindahkan hanya melalui dokumen atau manual. 

Ia perlu diinstitusikan melalui proses pemindahan pengetahuan, bimbingan, latihan serta pendokumentasian pengalaman agar tidak hilang bersama perubahan generasi kepimpinan.

Matlamat akhirnya ialah membangunkan sebuah organisasi politik yang bukan sahaja berupaya bertindak ketika pilihan raya, tetapi mempunyai kapasiti politik dan organisasi untuk berfungsi secara konsisten sepanjang tahun.

Task Force tersebut perlu beroperasi berdasarkan pelan strategik dan pelan tindakan yang jelas, lengkap dengan roadmap yang menetapkan objektif, sasaran, tempoh pelaksanaan, indikator keberhasilan, mekanisme pemantauan serta pihak yang bertanggungjawab.

Pendekatan tersebut penting bagi memastikan gerak kerja politik tidak lagi bersifat reaktif, ad hoc, bermusim atau terlalu bergantung kepada inisiatif individu tertentu. 

Sebaliknya, gerak kerja perlu diperkukuh melalui institusionalisasi proses, kesinambungan fungsi dan disiplin organisasi.

Memperkemas struktur Negeri, Cabang dan Ranting

Keutamaan pertama ialah memperjelas fungsi, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap peringkat organisasi.

PKR Terengganu perlu mempunyai pembahagian tugas yang lebih tersusun antara kepimpinan negeri, cabang dan ranting. 

Setiap struktur perlu mempunyai objektif kerja, sasaran prestasi serta mekanisme pelaporan yang boleh diukur dan dinilai secara berkala.

Ranting pula mesti dikembalikan kepada fungsi substantifnya sebagai institusi politik akar umbi. Ranting tidak seharusnya sekadar wujud dalam daftar organisasi atau hanya diaktifkan apabila pilihan raya semakin hampir.

Setiap ranting sewajarnya mempunyai program berkala, jaringan masyarakat, rekod isu tempatan serta keupayaan mengenal pasti dan memetakan permasalahan penduduk di kawasan masing-masing.

Dalam konteks ini, ukuran kekuatan organisasi perlu mengalami anjakan paradigma. Persoalannya bukan lagi sekadar “berapa ramai ahli yang berdaftar?”.

Tetapi lebih penting, “berapa ramai ahli yang benar-benar aktif, berapa banyak isu rakyat yang dikenal pasti dan ditangani, berapa banyak program kemasyarakatan yang memberikan impak serta sejauh mana tahap kepercayaan masyarakat terhadap organisasi?”

Anjakan daripada ukuran kuantitatif kepada ukuran kualitatif inilah yang akan menentukan tahap kematangan sebenar sesebuah organisasi politik.

Melahirkan kepimpinan dan pelapis baharu

Task Force juga perlu berfungsi sebagai platform pembangunan modal insan dan kepimpinan parti.

PKR Terengganu memerlukan suatu kerangka pembangunan kepimpinan yang sistematik bagi melahirkan generasi pelapis yang bukan sahaja memahami politik kepartian, tetapi mempunyai keupayaan dalam bidang dasar awam, komunikasi strategik, pengurusan konflik, pentadbiran organisasi, media digital dan analisis data.

Latihan tidak boleh lagi terbatas kepada ceramah politik konvensional. 

Sebaliknya, kurikulum pembangunan kepimpinan perlu merangkumi pengurusan organisasi, komunikasi krisis, public speaking, penyelesaian konflik, pengurusan media, analisis sentimen masyarakat, penggubalan dasar, pemetaan isu setempat serta asas penyelidikan politik.

Pemimpin muda dan aktivis akar umbi juga perlu diberikan ruang untuk memikul tanggungjawab sebenar melalui pendekatan learning by doing. 

Melalui kaedah tersebut, pembangunan kepimpinan tidak hanya bersifat teoritis, tetapi dapat membentuk kompetensi praktikal yang diperlukan untuk mengurus organisasi dalam persekitaran politik sebenar.

Pendekatan ini juga penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dapat dibangunkan secara terancang dan tidak terlalu bergantung kepada kelompok personaliti tertentu.

Memperkasa JPRN dan JPRC

Satu lagi aspek yang wajar diberikan perhatian serius ialah pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Cabang (JPRC).

Kedua-dua struktur ini perlu diterajui oleh individu yang memiliki kefahaman mendalam mengenai operasi pilihan raya, pengurusan kawasan, data pengundi, strategi kempen, komunikasi politik serta dinamika sosioekonomi dan demografi setempat.

JPRN dan JPRC tidak seharusnya hanya berfungsi apabila pilihan raya diumumkan. 

Sebaliknya, kedua-duanya perlu beroperasi secara berterusan melalui pemetaan kawasan, analisis demografi, pengumpulan data isu, pengukuhan jaringan sukarelawan serta penilaian berkala terhadap kekuatan dan kelemahan organisasi.

Persediaan pilihan raya yang berkesan tidak bermula dengan pembukaan pusat operasi atau pengumuman calon. 

Ia bermula jauh lebih awal melalui pembinaan kepercayaan, pengumpulan pengetahuan setempat, pengukuhan jaringan sosial dan penginstitusian kerja politik di lapangan.

Mengintegrasikan political marketing dan media sosial

Dalam era politik digital, gerak kerja lapangan dan komunikasi media sosial tidak boleh lagi beroperasi dalam dua ekosistem yang terpisah.

Political marketing perlu dirancang secara bersepadu dengan kerja organisasi. Isu yang dikenal pasti di akar umbi perlu diterjemahkan kepada kandungan komunikasi yang tepat, berfakta, beretika dan mudah difahami oleh khalayak sasaran.

Media sosial parti juga perlu mengalami transformasi daripada pendekatan yang terlalu berorientasikan propaganda kepada pendekatan yang lebih menekankan penerangan dasar, pendidikan politik, penglibatan masyarakat dan komunikasi penyelesaian masalah.

Masyarakat hari ini bukan sekadar mahu mendengar slogan. Mereka mahu memahami apakah masalah yang dihadapi, apakah punca masalah tersebut, apakah alternatif penyelesaian yang ditawarkan dan apakah hasil yang telah dicapai.

Justeru, Task Force perlu mempunyai unit komunikasi digital yang profesional, responsif dan berdisiplin. 

Setiap kandungan perlu mempunyai objektif strategik, kumpulan sasaran, mesej utama serta indikator keberhasilan yang dapat dinilai.

Membina pusat penyelidikan dan analisis isu

PKR Terengganu juga perlu meningkatkan kapasiti penyelidikan dan analisis politik secara lebih tersusun.

Sebuah unit penyelidikan dan analisis di bawah Task Force boleh memberikan tumpuan kepada isu strategik seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, ekonomi negeri, peluang generasi muda, pembangunan luar bandar, perumahan, kebajikan serta pelbagai isu tempatan yang mempunyai implikasi langsung terhadap kehidupan rakyat.

Prinsip asasnya ialah politik yang berkesan mesti berakar pada pengetahuan yang sahih mengenai realiti masyarakat.

Setiap keputusan organisasi, sejauh yang memungkinkan, perlu disokong oleh data, kajian lapangan dan maklum balas masyarakat. 

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti perbahasan dasar, malah membolehkan anggota parti menerangkan pendirian organisasi dengan fakta yang tepat, hujah yang koheren dan bahasa yang mudah difahami.

Dalam jangka panjang, kapasiti penyelidikan tersebut boleh berkembang menjadi sebuah pusat pengetahuan politik Terengganu yang menghimpunkan data, analisis, dokumentasi isu dan pengetahuan lapangan secara sistematik.

Tata kelola dan pembiayaan mesti telus

Penubuhan dan pengoperasian Task Force tentunya memerlukan sumber kewangan serta sumber manusia yang mencukupi. Namun, keperluan tersebut tidak boleh dipisahkan daripada prinsip tatakelola, integriti dan akauntabiliti.

Setiap unit perlu mempunyai pelan kerja, anggaran perbelanjaan dan sasaran keberhasilan yang munasabah. 

Penggunaan sumber hendaklah direkodkan, dipantau dan dilaporkan berdasarkan mekanisme yang jelas.

Perbelanjaan yang besar tidak semestinya menghasilkan keberhasilan yang besar sekiranya tidak disokong oleh perancangan yang teliti. 

Sebaliknya, sumber yang terhad boleh menghasilkan impak yang signifikan apabila disalurkan kepada fungsi yang benar-benar strategik.

Oleh itu, Task Force perlu mengamalkan prinsip keberkesanan kos (value for money), ketelusan, akauntabiliti dan pertanggungjawaban institusi dalam setiap aspek pengurusan sumber.

Membina budaya politik yang matang

Pendirian Perdana Menteri mengenai kepentingan mengekalkan kerjasama demi kestabilan turut memberikan suatu pengajaran yang relevan kepada organisasi parti: politik tidak boleh selama-lamanya dikendalikan melalui kerangka emosi, sentimen dan permusuhan.

Perbezaan pandangan dalam sesebuah organisasi politik adalah suatu fenomena yang normal dan, dalam keadaan tertentu, produktif. 

Perbezaan yang diurus secara matang boleh memperkayakan proses membuat keputusan. 

Sebaliknya, perbezaan yang dibiarkan berkembang tanpa mekanisme institusi boleh berubah menjadi konflik yang melemahkan organisasi.

Oleh itu, PKR Terengganu perlu membangunkan budaya politik yang memberikan ruang kepada perbezaan pandangan, tetapi pada masa yang sama menegakkan disiplin organisasi, keputusan kolektif dan kepentingan rakyat.

Reformasi politik tidak bermaksud meniadakan perbezaan; reformasi politik menuntut kewujudan institusi yang cukup matang untuk mengurus, mendamaikan dan memanfaatkan perbezaan tersebut.

Dalam kerangka inilah budaya dialog, musyawarah dan perbahasan berasaskan hujah perlu diperkukuh.

Task Force mesti mempunyai Indeks Keberhasilan Organisasi

Salah satu kelemahan lazim organisasi politik ialah kecenderungan mengukur aktiviti berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan tanpa menilai secara kritikal hasil dan impaknya.

Justeru, Task Force KeADILan perlu memperkenalkan suatu Indeks Keberhasilan Organisasi sebagai instrumen pemantauan prestasi yang dilaksanakan secara berkala.

Indikator tersebut boleh merangkumi:

– tahap keaktifan ranting;

– kadar penyertaan dan penglibatan anggota;

– jumlah serta kualiti program kemasyarakatan;

– keberkesanan program pembangunan kepimpinan;

– kadar penyelesaian isu masyarakat;

– keberkesanan komunikasi digital;

– pertumbuhan jaringan sukarelawan;

– tahap kepuasan anggota;

– keupayaan JPRN dan JPRC; dan

– tahap kepercayaan masyarakat terhadap parti.

Indeks ini perlu digunakan bukan sebagai instrumen menghukum mana-mana struktur, tetapi sebagai alat diagnostik organisasi bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan, jurang prestasi serta ruang penambahbaikan.

Dengan adanya indikator yang objektif, organisasi dapat bergerak daripada budaya membuat penilaian berdasarkan persepsi kepada budaya pengurusan yang berasaskan bukti (evidence-based organisational management).

Daripada organisasi pilihan raya kepada organisasi rakyat

Pasca-Kongres PKR 2026 sewajarnya menjadi permulaan kepada suatu fasa baharu pengukuhan organisasi.

Jika pendirian politik di peringkat nasional menekankan kestabilan dan kemakmuran rakyat, maka pada peringkat negeri prinsip tersebut perlu diterjemahkan kepada pembinaan organisasi yang stabil, berdisiplin, profesional, responsif dan sentiasa hadir dalam kehidupan masyarakat.

PKR Terengganu tidak memerlukan pertambahan struktur semata-mata. Yang lebih diperlukan ialah struktur yang berfungsi, kepimpinan yang berkompetensi, anggota yang aktif, penyelidikan yang berwibawa, komunikasi yang profesional serta gerak kerja yang dapat diukur keberhasilannya.

Dalam kerangka tersebut, Sekretariat Special Task Force KeADILan boleh memainkan peranan yang strategik sebagai instrumen pengukuhan organisasi.

Task Force tersebut hendaklah menjadi jambatan yang menghubungkan pengalaman politik kumpulan reformis dengan generasi baharu; menghubungkan kepimpinan dengan akar umbi; menghubungkan data dengan dasar; menghubungkan penyelidikan dengan tindakan; serta menghubungkan aspirasi perjuangan parti dengan realiti kehidupan rakyat.

Pada akhirnya, kekuatan politik tidak ditentukan semata-mata oleh kemampuan memenangi pilihan raya. Kekuatan politik yang lebih fundamental ialah keupayaan memperoleh kepercayaan rakyat, memelihara kepercayaan tersebut dan membuktikannya melalui kerja yang berterusan bahawa politik mampu menjadi instrumen perubahan sosial yang berintegriti, berpengetahuan dan bertanggungjawab.

Jika momentum pasca-Kongres Melaka dapat diterjemahkan kepada pelan strategik yang jelas, sekretariat yang tersusun, pembahagian fungsi yang tegas, mekanisme pemantauan yang objektif serta budaya kerja yang berorientasikan keberhasilan, PKR Terengganu bukan sahaja berupaya memperkukuh struktur organisasinya, bahkan berpotensi membangunkan suatu model organisasi politik reformis yang lebih matang, responsif, berasaskan pengetahuan dan berdaya saing.

Dalam politik yang semakin kompleks, organisasi yang hanya menunggu pilihan raya akan sentiasa berada dalam keadaan reaktif. 

Sebaliknya, organisasi yang sentiasa belajar, meneliti data, mendengar rakyat, membangunkan kepimpinan dan memperbaiki kelemahan secara berterusan akan mempunyai keupayaan membentuk masa depan politiknya sendiri.

Kestabilan menyediakan ruang untuk bekerja; ilmu memberikan arah; organisasi menyediakan kekuatan; dan kepercayaan rakyat menentukan legitimasi perjuangan.