6,537 maut atas jalan raya tahun lalu – Zahid mahu kurangkan kadar kematian motosikal 

Sebanyak 6,537 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya sepanjang 2025, dengan penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian.

Angka itu antara perkara utama yang diberi perhatian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil. 1/2026 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir sama Menteri Pengangkutan, Antony Loke.

Mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi, majikan dan masyarakat dalam menangani isu keselamatan serta kesesakan jalan raya.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), kerajaan menyasarkan pengurangan 50 peratus kadar kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030, selain berusaha mengurangkan kerugian sosioekonomi yang dianggarkan mencecah RM30 bilion.

Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan mempergiat intervensi bersasar menerusi pengukuhan Program Ops Cegah dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mesyuarat turut meneliti pelaksanaan secara berfasa Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO) yang memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi pemandu kenderaan berat.

Pendekatan itu dilihat penting memandangkan kemalangan jalan raya bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, malah memberi kesan besar kepada keluarga mangsa, produktiviti serta ekonomi negara.

Dalam pada itu, pelan penyuraian trafik dan integrasi pengangkutan awam turut dibincangkan sebagai persediaan menjelang pengoperasian RTS Link Johor Bahru–Singapura.

Kerajaan dijangka memperkukuh penyelarasan merentas kementerian dan agensi bagi memastikan peningkatan pergerakan pengguna selepas pengoperasian RTS tidak menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya sedia ada.

MOT berkata pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government) dan pendekatan keseluruhan masyarakat(Whole-of-Society) akan terus diperkasakan bagi mengubah budaya keselamatan jalan raya serta memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan memberi impak tinggi dalam usaha menyelamatkan nyawa.

Dengan lebih 6,500 kematian direkodkan dalam tempoh setahun, tumpuan terhadap penunggang dan pembonceng motosikal dilihat menjadi antara cabaran terbesar kerajaan dalam mencapai sasaran keselamatan jalan raya bagi tempoh lima tahun akan datang.

BACA JUGA Anak muda teruja dapat beli tiket F1 MADANI harga murah, ‘Terima kasih PMX!’