Menang kalah PRN bukan alasan tarik diri – Khaled tegaskan BN kekal bersama kerajaan

Barisan Nasional (BN) tidak menjadikan keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan mereka berdepan Pakatan Harapan (PH) dan PKR sebagai alasan untuk mengubah komitmen terhadap Kerajaan Persekutuan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebaliknya, beliau menegaskan BN akan terus memainkan peranan dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, selaras dengan komitmen yang dipersetujui bagi memastikan kestabilan politik negara.

Menurut Mohamed Khaled, kesungguhan BN dalam menjayakan sesuatu perkara bukan sesuatu yang boleh diberikan atau ditarik balik secara semberono.

“Lebih-lebih lagi persetujuan dan komitmen BN untuk bersama-sama menjayakan pembentukan Kerajaan Persekutuan ini adalah dibuat atas kesedaran untuk memberikan kestabilan politik dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, perbezaan politik di peringkat negeri tidak seharusnya menjejaskan kerjasama antara parti di peringkat Persekutuan.

Katanya, BN sebelum ini bertanding menentang PH dan PKR dalam beberapa PRN termasuk di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Namun, keputusan pilihan raya di negeri terbabit tidak menyebabkan BN mempertimbangkan untuk menarik balik komitmen yang telah diberikan dalam Kerajaan Persekutuan.

“Perbezaan pentadbiran di peringkat negeri tidak menghalang kerjasama yang baik di peringkat Persekutuan.

“Ini adalah struktur dan realiti yang unik tentang negara kita,” katanya.

Penegasan itu dibuat ketika hubungan antara BN dan PH terus menjadi perhatian menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), khususnya selepas kedua-dua blok politik berdepan secara langsung dalam beberapa PRN.

Mohamed Khaled berkata, BN melihat PRU16 sebagai satu keputusan yang hanya perlu diuruskan apabila tiba masanya kelak.

Katanya, kemungkinan berlaku perubahan selepas PRU16 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengubah komitmen sedia ada dalam kerjasama di peringkat Persekutuan.

“PRU16 sebagai satu titik perubahan atau keputusan yang perlu diuruskan apabila tiba masanya kelak, bukannya dengan mengubah komitmen sedia ada dalam kerjasama bersama PH di peringkat Persekutuan,” katanya.

Kenyataan itu hadir sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PKR akan terus bekerjasama dengan BN dan Umno di peringkat Persekutuan.

Ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026, Anwar berkata kerjasama berkenaan penting bagi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran rakyat.

Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan kedua-dua parti utama dalam Kerajaan Persekutuan masih mengekalkan komitmen untuk meneruskan kerjasama sehingga penggal semasa berakhir, meskipun persaingan politik antara mereka kekal berlaku di peringkat negeri.

BACA JUGA Tian Chua sedia kembali: Perjuangan reformasi belum berakhir