Ekonomi Malaysia kekal kebal, separuh pertama 2026 tumbuh 5.7%

Prestasi ekonomi Malaysia yang berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata prestasi itu turut mengatasi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4 hingga 5 peratus.

Menurutnya, ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku pertama sebelum mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 6 peratus pada suku kedua.

“Walaupun unjuran negara-negara lain telah menurun, unjuran ini dikekalkan dalam penerbitan terkini pada Julai lepas, dan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan global, asas ekonomi negara kekal berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027, hari ini.

Amir Hamzah berkata perkembangan ekonomi Malaysia turut mendapat pengiktirafan menerusi semakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK negara daripada 4.3 peratus pada Januari kepada 4.7 peratus pada April 2026.

Menurutnya, unjuran berkenaan dikekalkan dalam penerbitan terbaharu IMF pada Julai walaupun prospek pertumbuhan bagi beberapa negara lain menyaksikan pelarasan menurun.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata ringgit turut menunjukkan kestabilan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini walaupun pasaran kewangan global berdepan ketidaktentuan.

Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang terus berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran luaran yang mencabar.

Prestasi KDNK pada separuh pertama tahun ini, menurut beliau, memberi asas yang kukuh kepada kerajaan dalam merangka Belanjawan 2027, dengan tumpuan untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan.

Pertumbuhan 5.7 peratus itu juga memberi gambaran bahawa ekonomi domestik masih mempunyai daya tahan, meskipun berdepan tekanan dan ketidaktentuan daripada ekonomi global.

BACA JUGA FELDA perlu ‘reset’ besar-besaran, forensik Anwar langkah pertama pulihkan peneroka