CRS SSM: Lebih 70,000 transaksi berjaya diproses setakat 10 Ogos

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) komited memperkukuh pelaksanaan Sistem Pendaftaran Korporat (CRS) bagi memastikan perkhidmatan pendaftaran dan transaksi korporat negara terus cekap, selamat serta berdaya tahan. Timbalan Menteri KPDN, YB Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, CRS merupakan transformasi digital berskala besar dan kompleks yang bukan sekadar melibatkan pembangunan sistem baharu, malah merangkumi penyatuan pelbagai sistem legasi, proses perniagaan serta perkhidmatan sedia ada ke dalam satu ekosistem digital bersepadu. (Gambar: UKK KPDN)

Menurutnya, pelaksanaan CRS dibuat secara berfasa dan terkawal bagi memberi ruang kepada SSM menstabilkan sistem, melaksanakan penambahbaikan serta mengambil kira maklum balas pengguna.
“Fasa pertama CRS bermula pada 14 Julai 2026 dan meliputi perkhidmatan berkaitan syarikat termasuk perkhidmatan yang sebelum ini disediakan melalui MyCoID, e-Secretary serta pelbagai perkhidmatan penyerahsimpanan berkanun.

“Fasa seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini, meliputi perkhidmatan berkaitan milikan tunggal, perkongsian konvensional, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad (LLP),” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, KPDN mengakui pelaksanaan CRS pada peringkat awal berdepan beberapa cabaran, khususnya dari aspek prestasi sistem dan pengalaman pengguna.

Katanya, maklum balas daripada komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan yang bergantung kepada perkhidmatan SSM turut diberi perhatian serius, dengan proses penstabilan dan pengoptimuman sistem dilaksanakan secara berterusan.
“CRS melibatkan integrasi sistem dan proses perniagaan yang kompleks termasuk perubahan atau kemas kini maklumat korporat seperti pertukaran alamat, perubahan pengarah serta pelbagai transaksi lain yang memerlukan penyelarasan data dan rekod korporat sedia ada,” katanya.

Dalam menangani isu yang timbul, SSM telah menggerakkan pasukan teknikal secara intensif yang melibatkan pakar sistem, pembangun, pangkalan data dan infrastruktur.
Usaha itu turut disokong menerusi pemantauan sistem secara intensif, penyelenggaraan berjadual serta peningkatan teknikal berterusan bagi memperkukuh kestabilan sistem dan meningkatkan pengalaman pengguna.

SSM juga terus mengemas kini soalan lazim (FAQ), manual pengguna dan panduan penggunaan, selain menyediakan saluran sokongan pelanggan CRS serta ruang libat urus bersama komuniti perniagaan. Bagi mengurangkan kesan peralihan terhadap komuniti korporat, SSM turut mengambil langkah seperti pengecualian automatik daripada yuran lewat serah simpan bagi pemfailan melalui CRS dan MBRS serta pelanjutan tempoh penyerahsimpanan berkanun bagi transaksi terpilih.

Menurut Fuziah, langkah itu penting bagi memastikan pengguna tidak dikenakan penalti akibat kelewatan yang berpunca daripada tempoh peralihan dan penstabilan sistem. Beliau berkata, perkembangan positif turut dapat dilihat apabila lebih 70,000 transaksi berjaya diproses melalui CRS setakat 10 Ogos 2026, kurang sebulan selepas sistem berkenaan mula beroperasi. “Pencapaian ini menunjukkan CRS telah mula menyokong transaksi korporat secara aktif, sementara kerja penstabilan dan penambahbaikan sistem terus dilaksanakan,” katanya.

SSM kini mengawal selia lebih 718,000 syarikat aktif, 1.7 juta perniagaan aktif dan 40,000 perkongsian liabiliti terhad aktif, sekali gus menjadikan keperluan terhadap sistem pendaftaran korporat yang cekap, selamat dan berdaya tahan semakin penting. Fuziah berkata, transformasi digital juga perlu dibina atas asas kepercayaan, tadbir urus dan integriti data, selain memastikan sistem yang lebih moden dan pantas mempunyai tahap keselamatan, ketepatan serta kebolehpercayaan yang tinggi. “KPDN menyokong usaha SSM untuk terus menstabilkan CRS dan memperkukuh sistem berdasarkan maklum balas pengguna, selain menghargai kesabaran serta kerjasama komuniti perniagaan sepanjang tempoh peralihan ini.

“Penambahbaikan CRS akan terus dilakukan secara berterusan dan berfasa supaya matlamat mewujudkan ekosistem pendaftaran korporat Malaysia yang moden, selamat, cekap, berdaya tahan dan berpusatkan pengguna dapat dicapai,” katanya.
Beliau yakin pendekatan penambahbaikan berterusan, libat urus bersama komuniti perniagaan serta komitmen SSM menangani isu yang timbul akan menjadikan CRS antara pemangkin penting kepada agenda pendigitalan sektor korporat dan pembangunan ekonomi digital Malaysia.