Merapunya tohmahan Asyraf Wajdi, pelaburan era PH tertinggi cecah RM426.7 bilion
Tohmahan keji Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Pakatan Harapan (PH) lemah mentadbir serta tidak mampu menarik pelaburan asing terbukti bercanggah dengan petunjuk ekonomi semasa yang menunjukkan perkembangan sebaliknya.
Pemerhati politik, Nasrul Hisham mempersoalkan kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu memandangkan Malaysia baru sahaja merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026.
“Apa yang hang merapu ni Asyraf? Macam ni je tahap pemimpin ada PhD,” tempelaknya.
Nasrul berkata, KDNK Malaysia berkembang 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengesahkan ekonomi berkembang 5.4 peratus pada suku pertama sebelum meningkat lagi pada suku berikutnya.
Beliau turut menarik perhatian kepada kadar inflasi negara yang semakin sederhana sejak 2022.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan inflasi tahunan berada pada 3.3 peratus pada 2022, sebelum turun kepada 2.5 peratus pada 2023, 1.8 peratus pada 2024 dan seterusnya 1.4 peratus pada 2025.

“Pada 2025, Malaysia mencatat RM426.7 bilion pelaburan diluluskan, tertinggi dalam sejarah, naik 11 peratus daripada RM384.4 bilion pada 2024.
“FBM KLCI kembali mencatat pertumbuhan pada 2024 dan 2025.
“Tahun 2024 khususnya menyaksikan lonjakan 12.9 peratus, antara prestasi terbaik pasaran saham Malaysia dalam beberapa tahun,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian mengulas ucapan Asyraf yang antara lain berkeras mengejek Pakatan Harapan (PH) sebagai “menghancingkan rakyat”.
“Jangan kita hanya terpengaruh dengan Pakatan Harapan yang menghancingkan rakyat.
“Dia (PH) lemah dalam mentadbir, dia tuduh kerajaan lama (BN).
“Dia (PH) tak mampu menarik pelabur asing, nak tingkatkan saham-saham, dia (PH) tuduh kerajaan lama mengharu-birukan Tabung Haji,” tohmah Asyraf lagi menerusi rakaman video yang tular di media sosial.
BACA JUGA Ekonomi Malaysia kekal kebal, separuh pertama 2026 tumbuh 5.7%