Bahaya tuduhan ‘barua harbi’, 63 tahun lalu mufti sudah pun tegur kafir-mengkafir dosa besar
Tuduhan ‘kafir harbi’ terhadap orang Islam adalah satu bentuk takfiri dan bukan perkara yang boleh dipermainkan, menurut fatwa Mufti Terengganu ke-10, Syed Yusuf Ali az-Zawawi pada tahun 1963.
Fatwa yang dikeluarkan pada 2 Oktober 1963 itu menegaskan bahawa Islam mengharamkan seorang Islam menuduh seorang Islam yang lain sebagai kafir, malah perbuatan berkenaan merupakan dosa besar menurut ijmak ulama.
Mufti menegaskan mereka yang suka mempermainkan perkataan ‘kafir-mengkafir’ perlu bertaubat dan jika masih berterusan membuat tuduhan, pemerintah boleh mengenakan ta’zir dengan cara yang difikirkan patut dan munasabah.
“Maka wajiblah di atas tiap-tiap orang yang suka mempermain-mainkan perkataan ‘kafir-mengkafir’ ini menginsafi akan dosa yang dia lakukan itu, dan wajiblah ia bertaubat dengan serta-merta supaya tidaklah ia berkekalan di dalam dosa yang besar itu yang akan membawa ke neraka. Jika ia masih kekal membuat tuduhan itu, maka wajiblah di atas pemerintah ta’zirkan dia dengan apa cara yang difikirkan patut dan munasabah.”
Perkara itu dipetik semula oleh pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faisal Tehrani, mengulas penggunaan istilah ‘barua harbi’ digunakan sebuah parti politik Islam kepada pihak lawan.
Menurut Faisal, ‘parti Islam’ tersebut menggunakan ungkapan ‘barua harbi’ kepada pengundi Melayu Islam yang menyokong pemimpin DAP.
Beliau berkata, penggunaan istilah ‘harbi’ terhadap pemimpin bukan Islam yang bermaksud boleh diperangi, membawa implikasi serius terhadap penyokong pemimpin berkenaan.
“Ada satu kempen yang digerakkan oleh mereka yang tertentu dari ‘parti Islam’ iaitu melekatkan tuduhan sebagai barua harbi untuk mereka yang menyokong PH. .ereka dianggap penyokong parti DAP yang teras kepimpinannya bukan beragama Islam.
“Tuduhan ini serius. Ia adalah satu bentuk takfiri. Dan ia tidak normal sama sekali. Saya sendiri ikut dituduh harua harbi, dan saya pernah mencabar seorang pemimpin parti itu dari Sabah mengenai hal ini.
“Sudah tentu ini adalah sesuatu yang ekstrem lagi berbahaya,” katanya.
Faisal berkata, Menteri Besar Perak daripada Umno juga tidak terkecuali berdepan tuduhan ‘barua harbi’ yang menurutnya mula dimasyhurkan pada 2025, namun lemparan itu lebih kerap ditujukan kepada penyokong PH.
“Mufti menegur 63 tahun lalu. Membaca keterangan fatwa itu kita mendapati dengan jelas bahawa si penuduh orang lain kafir hendaklah bertaubat malah perlu dihukum,” kata beliau