Faisal Tehrani gesa pihak berkuasa agama tegas terhadap tuduhan ‘barua harbi’

Pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Faisal Tehrani menggesa pihak berkuasa agama supaya bertindak tegas terhadap penggunaan label ‘barua harbi’ dan tuduhan takfiri yang dilemparkan terhadap orang Islam lain.

Beliau berkata, penggunaan istilah berkenaan tidak sepatutnya dibiarkan kerana ia melibatkan kelompok yang menggunakan hujah agama dan politik untuk kepentingan serta agenda sendiri.

Faisal berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menuduh orang Islam lain sebagai kafir, termasuk apabila label ‘barua harbi’ diperkenalkan dan dimasyhurkan oleh sekelompok ahli politik ekstrem.

“Saya ingin menyeru pihak berkuasa agama untuk bertindak tegas terhadap kelompok yang menggunakan agama, menuduh orang Islam lain sebagai kafir, dan memain-mainkan hujah politik dan agama untuk kepentingan dan agenda sendiri,” katanya.

Beliau memetik Mufti Terengganu ke-10, Syed Yusuf Ali az-Zawawi yang mengingatkan bahawa warganegara bukan Islam tidak boleh dituduh atau didakwa sebagai kafir harbi sewenang-wenangnya kerana mereka menerima hukum-hakam Malaysia moden.

Fatwa berkenaan turut memperakukan bahawa tidak jatuh akidah seorang Islam jika mengundi pemimpin bukan Islam yang diiktiraf sah sebagai warganegara serta tertakluk kepada undang-undang negara.

“Dari kandungan fatwa ini diperakukan tidak jatuh akidah kita orang Islam jika mengundikan seorang pemimpin bukan Islam di dalam Malaysia moden ini. Mufti Terengganu itu mengingatkan lemparan tuduhan kafir ini dilakukan oleh segelintir umat Islam ketika berkempen pilihan raya.

“Menurut Mufti Terengganu tersebut: “Bahawa sesungguhnya langkah taktik setengah-setengah ahli siyasah yang belum masak yang berani menerbitkan fitnah agama yang besar seumpama itu amatlah menyedihkan tiap-tiap seorang Islam yang cemburukan ugamanya dan tiap-tiap orang Islam yang mempunyai akal fikiran yang waras dan bebas. 

“Mereka hendaknya beringat bahawa akibat pesona yang sebegitu beracun akan menimpa batu kepala mereka sendiri sebelum daripada orang lain. Allah Taala sahaja yang Maha Mengetahui tuduhan yang dibuat itu bukan sekali-kali kerana agama dan bukan sekali-kali kerana Allah, malahan sebagai umpan untuk memancing suara rakyat yang lurus.”

“Justeru, berdasarkan fatwa di atas, saya menyeru pihak berkuasa agama untuk bertindak tegas terhadap kelompok yang menggunakan agama, menuduh orang Islam lain sebagai kafir, dan memain-mainkan hujah politik dan agama untuk kepentingan dan agenda sendiri.

“Jika seorang mufti pernah menegur pada 1963 perihal “umpan untuk memancing suara rakyat yang lurus” (baca: jahil) maka mengapakah kita masih bertimbang rasa dan membiarkan tuduhan takfiri, termasuklah barua harbi diperkenal dan dimasyhurkan oleh sekelompok ahli politik ekstrem.

Faisal berkata, tindakan terhadap perbuatan ekstrem berkenaan perlu dibuat dengan kadar segera sebelum Malaysia terjerumus ke kancah perseteruan agama dan kaum yang genting.

“Bala bencana 1963 yang bermula di Terengganu ini sedang dibawa ke Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor dengan pelbagai helah. Ia harus dihentikan,” katanya.