Majlis Ulama Umno tak akan pertahan salah laku, penyelewengan dalam Tabung Haji

Majlis Ulama Umno menegaskan bahawa parti itu tidak akan mempertahankan sebarang salah laku sekiranya terbukti berlaku di dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, parti itu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan di dalam institusi tersebut ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Jika terdapat unsur rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa atau pengkhianatan amanah, maka perkara tersebut hendaklah diserahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk disiasat dan diambil tindakan mengikut lunas undang-undang, tanpa mengira kedudukan mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan menerbitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji kepada awam pada Julai lalu di mana tempoh siasatan RCI adalah bermula tempoh 2014 hingga 2020, termasuk ketika BN masih menerajui pentadbiran negara.

Perkembangan itu sekali gus menyebabkan perhatian tertumpu kepada Umno susulan pelbagai teguran dan penemuan RCI berhubung pengurusan institusi berkenaan.

Antara penemuan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus serta campur tangan politik dalam pengurusan dan pengagihan keuntungan Tabung Haji, termasuk keputusan berkaitan hibah, caj haji dan bantuan kewangan haji yang didapati dipengaruhi unsur politik.

RCI turut mendapati Tabung Haji sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.

Laporan itu turut menemukan kelemahan amalan perakaunan, termasuk kegagalan merekodkan rosot nilai terhadap beberapa pelaburan serta pembayaran hibah yang tidak mengambil kira sepenuhnya kesan kemerosotan nilai pelaburan.

Dalam masa sama, RCI mendapati pendekatan agresif membayar hibah tinggi antara 2014 hingga 2017, yang melebihi kemampuan kewangan Tabung Haji, antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan institusi itu.

Laporan berkenaan turut menyatakan wujud defisit antara aset dan liabiliti Tabung Haji sejak 2014, manakala kedudukan kewangannya berada dalam keadaan kritikal pada 2017.