RM1.165 trilion dalam 7 bulan : Eksport Malaysia pecah rekod lagi

Nilai eksport Malaysia mencatat rekod baharu apabila mencecah RM1.165 trilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, meningkat 29.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pencapaian itu dicapai lebih awal berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadikan tujuh bulan pertama 2026 sebagai tempoh terbaik dalam sejarah perdagangan luar Malaysia.

Jumlah perdagangan negara turut melonjak 24.7 peratus kepada RM2.160 trilion, manakala import meningkat 19.8 peratus kepada RM994.71 bilion.

Prestasi eksport yang lebih kukuh turut menyumbang kepada lonjakan lebihan dagangan sebanyak 138.7 peratus kepada RM170.50 bilion, berbanding RM71.42 bilion dalam tempoh sama 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata prestasi itu mencerminkan daya tahan komuniti perniagaan tempatan dalam menghadapi persekitaran perdagangan global yang mencabar.

Bagaimanapun, beliau berkata usaha memperluas asas eksport perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan perdagangan negara lebih mampan dan tidak terlalu bergantung kepada kelompok produk atau syarikat tertentu.

Menurutnya, MATRADE kini memperhebat usaha memperkasa PMKS serta syarikat peringkat pertengahan supaya pertumbuhan eksport lebih inklusif dan berasaskan kekuatan syarikat tempatan.

Dari segi produk, eksport PMKS pada 2025 meningkat 10.5 peratus kepada RM214.47 bilion, dengan bahagiannya dalam keseluruhan eksport negara meningkat kepada 14.7 peratus. Bagi Januari hingga Julai 2026, eksport makanan dan konfeksioneri meningkat 6.3 peratus, manakala farmaseutikal melonjak 29.7 peratus.

Barangan automotif turut mencatat pertumbuhan 13.8 peratus, diikuti perabot berasaskan logam sebanyak 27.8 peratus serta produk minyak sawit dan oleokimia sebanyak 13.4 peratus.

Dari sudut pasaran, Amerika Syarikat menjadi antara pemacu utama dengan eksport meningkat 58.3 peratus kepada RM206.59 bilion, manakala eksport ke Taiwan melonjak 71.4 peratus dan Hong Kong 49.8 peratus.

Eksport ke China pula meningkat 24.3 peratus, Kesatuan Eropah 29.8 peratus dan ASEAN 20.3 peratus, menunjukkan permintaan terhadap produk Malaysia terus berkembang di pasaran utama dunia.

Pasaran bukan tradisional turut memberikan sumbangan apabila eksport ke Afrika, Asia Tengah, Asia Selatan dan Amerika Latin meningkat 18.2 peratus kepada RM100.94 bilion. Eksport ke negara rakan FTA pula meningkat 22.4 peratus kepada RM737.97 bilion, merangkumi 63.3 peratus daripada jumlah eksport negara.

Dalam usaha mengekalkan momentum itu, MATRADE memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam platform perdagangan antarabangsa seperti Farnborough International Airshow, SEMICON West dan ADIPEC, selain memperkukuh akses digital menerusi Platform Perdagangan Digital MADANI, eBizLink dan eTrade. 

Perkembangan itu menunjukkan cabaran seterusnya bukan sekadar mengekalkan rekod eksport, tetapi memastikan lebih banyak PMKS mampu menembusi rantaian bekalan dan pasaran global.

BACA JUGA Hadi serang Malaysiakini, Aziz Bari buka ‘fail lama’: Dulu mereka pertahan PasÂ