Dari zaman sekolah tunggu, anak muda Kelantan mula tertanya kenapa terminal bas KB tak siap-siap?

Hantaran media sosial seorang anak muda Kelantan menjadi perhatian ramai selepas dia meluahkan rasa hairan mengapa Terminal Bas Kota Bharu masih belum siap sehingga kini. 

Pemuda menggunakan akaun Threads @aezat95 itu berkata dia sebenarnya tidak begitu mengetahui soal politik, namun mahu mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku terhadap terminal berkenaan.

Katanya, sejak dia berusia 16 tahun sehingga sudah bekerja sekarang, terminal bas berkenaan masih juga belum dapat disiapkan.

“Maaf memang tak tahu sangat pasal politik. Cuma ada ke orang yang boleh jelaskan kenapa. Terminal bas Kota Bharu dekat Kelantan tu macam took forever dari zaman aku Tingkatan 4 2011 sampai dah bekerja masih belum siap.

“Ada tak orang yang boleh clearly explain apa sebenarnya isu, halangan, cabaran, masalah yang berlaku menyebabkan ia tak siap sampai sekarang?”

Pemuda itu turut mempersoalkan siapa sebenarnya pihak yang bertanggungjawab dalam urusan pembinaan ini.

“Sebenarnya siapa yang bertanggungjawab ? Kerajaan Negeri atau Persekutuan ? Masalah urus tadbir atau masalah politik? Sebagai anak jati Kelantan, aku rasa ingin tahu,” katanya. 

Pertanyaan ringkas itu kemudian membuka ruang perdebatan panjang dalam kalangan pengguna Threads. 

Antara komen yang paling mendapat perhatian datang daripada @amatdery yang menulis, “Simple ja.. kerajaan negeri selesa.. tahu kalau parti depa letak tunggul kayu sebagai calon pon confirm menang.. tu yang kerja ala kadar. Terlampau selesa”.

Seorang lagi pengguna, @zettyazhar pula menyindir mengenai tempoh menunggu tersebut dengan komen ringkas, “insyaAllah siap sebelum kiamat”.

Nada lebih kritikal turut dilontarkan @einsync yang berkata, “Kalau bersungguh kerja demi rakyat dah lama siap. Nak dekat mengundi main naratif kerajaan pusat anaktirikan negeri. Tambahan ramai walaun jadi enabler”.

Pengguna @nasri_rosdi pula mengaitkan isu berkenaan dengan persoalan kecekapan pentadbiran negeri. 

“Simple kerajaan negeri tak competent.. semua projek literally salahkan persekutuan.. realiti dia orang terlalu selesa”.