Bekas keluarga Pas dakwa membesar dalam ‘luka takfiri’, politik pernah pecahkan keluarga
Satu perkongsian mengenai pengalaman membesar dalam keluarga yang kuat dengan politik Pas menarik perhatian apabila penulisnya mendakwa perbezaan parti suatu ketika dahulu bukan sekadar soal politik, tetapi dianggap sebagai perbezaan pegangan agama.
Abied Abdullah menerusi tulisan bertajuk “Saya Membesar Dalam Luka Takfiri” mendakwa pengalaman tersebut bukan cerita yang didengarnya daripada orang lain, sebaliknya sesuatu yang berlaku dalam kehidupan dan keluarganya sendiri.
Menurutnya, keluarganya dibentuk oleh doktrin politik yang begitu kuat sehingga perbezaan sokongan parti akhirnya memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.
Lebih menyedihkan, beliau mendakwa pernah menyaksikan bapanya tidak bertegur sapa dengan adik perempuannya sendiri hanya kerana seorang menyokong Pas manakala seorang lagi menyokong Umno.
“Keluarga terbelah. Silaturahim terputus,” tulisnya ketika menggambarkan kesan pertentangan politik tersebut.
Malah, poster yang mengiringi perkongsian itu turut menyenaraikan dakwaan pengalaman lebih luas termasuk keluarga berpecah, sembelihan ditolak, solat dipisahkan dan pernikahan dipertikaikan kerana perbezaan politik.
Perkongsian itu menghidupkan kembali perbincangan mengenai kesan budaya takfiri dan politik kafir-mengkafir yang pernah menjadi antara isu paling panas dalam politik Melayu-Islam, khususnya ketika persaingan Pas dan Umno berada pada tahap sangat tegang.
Apa yang menarik, kisah seperti ini muncul ketika hubungan politik Pas dan Umno hari ini tidak lagi berada dalam bentuk permusuhan mutlak seperti dahulu, malah kedua-duanya pernah bekerjasama secara rasmi menerusi Muafakat Nasional.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat: jika dua parti yang pernah bertembung begitu keras akhirnya boleh duduk semeja atas kepentingan politik, bagaimana pula dengan luka dalam keluarga dan masyarakat yang tercetus akibat pertelingkahan politik pada zaman tersebut?
Pengalaman Abied Abdullah menjadi peringatan bahawa pemimpin dan parti politik boleh berubah kawan serta lawan mengikut keadaan, tetapi kesan retorik politik yang dibawa kepada akar umbi kadangkala mengambil masa jauh lebih panjang untuk dipulihkan.