Sheikh al-Azhar nak datang lagi, hubungan Malaysia-ulama dunia makin erat
Selepas kunjungan terakhirnya ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu, Sheikh al-Azhar al-Sharif, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyeb menyatakan hasrat untuk kembali mengunjungi negara ini.
Hasrat itu bukan sekadar soal kunjungan, sebaliknya membuka ruang kepada usaha baharu Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan institusi Al-Azhar serta memperluas kerjasama dalam menyuburkan gagasan Islam.
Perkara itu disentuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualannya bersama Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin, Mohamed Abdelsalam, malam tadi.
Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan beberapa ikhtiar baharu khususnya dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan Al-Azhar, selain menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa.
Anwar berkata, beliau amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif.
“Saya amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif.
“Saya juga tersentuh dengan penghargaan yang diberikan buat Azizah sebagai sosok wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan saya.
“Insya-Allah, segala ikhtiar dan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam perbualan itu, Mohamed Abdelsalam turut bertanyakan khabar serta menitipkan doa susulan keadaan kesihatan Anwar baru-baru ini.
Anwar pula mengambil kesempatan mendoakan kesembuhan dan keafiatan segera buat isteri Mohamed Abdelsalam yang kini menerima rawatan di hospital.