Jerebu makin teruk, netizen Indonesia serbu sosial media rakyat Malaysia dengan ‘sue our government’
Beberapa hantaran media sosial rakyat Malaysia dihujani dengan komen-komen dari warga Indonesia yang secara terbuka meminta Malaysia memfailkan saman terhadap kerajaan mereka.
Perkembangan itu hadir selepas rakyat Malaysia mula membangkitkan persoalan bagaimana kerajaan Indonesia boleh membiarkan masalah kebakaran hutan dan jerebu berulang setiap tahun.
Dilaporkan, asap dari Kalimantan telah merentasi sempadan dan menjejaskan kualiti udara di Sarawak sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, di sebalik kemarahan rakyat Malaysia, komen daripada warganet Indonesia kali ini paling mendapat perhatian kerana mereka sendiri mengakui sudah letih dengan masalah kebakaran dan jerebu yang berulang.
Mereka meninggalkan banyak komen yang meminta supaya tindakan undang-undang diambil terhadap kerajaan mereka sendiri.
“Please sue our government”, “Sue our government please” dan “Malaysia, Singapore, Brunei, please sue our government”.
Ada yang meminta Malaysia “claim” mereka, manakala yang lain secara terbuka menyifatkan tindakan undang-undang oleh negara jiran mungkin diperlukan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Indonesia.
Setakat pagi Sabtu, 10 kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) tidak sihat. Serian mencatat bacaan tertinggi 191, diikuti Kuching 181, Samarahan 178 dan Sri Aman 174.
Peta jerebu serantau turut menunjukkan kepulan asap sederhana hingga tebal dari Kalimantan Barat bergerak ke utara memasuki Sarawak.
Sehari sebelumnya, 591 sekolah di 10 daerah Sarawak diarahkan tutup susulan keadaan jerebu yang semakin buruk, sekali gus menjejaskan kira-kira 200,000 pelajar.
Di Indonesia pula, kebakaran hutan dan tanah kini memberi tumpuan khusus kepada Kalimantan yang berkongsi sempadan dengan Malaysia. Namun, buat masa ini Malaysia belum mengumumkan sebarang tindakan menyaman Indonesia.
Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dan mekanisme ASEAN untuk menekan Indonesia berhubung kebakaran hutan yang dipercayai menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.