‘Nak stesen bas macam mana? Nak ada mall dan hotel ke? – Penyokong Pas pertahan keadaan terminal bas KB
“Nak stesen bas macam mana? Nak ada pusat beli belah dan hotel ke?”. “Stesen yang ada sekarang pun dah cukup.”
Itu antara nada komen yang muncul ketika seorang anak muda Kelantan mula mempersoalkan nasib Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang masih belum siap selepas bertahun-tahun dijanjikan.
Penyokong pembangkang mendakwa kelewatan projek itu berpunca daripada peruntukan yang disekat Kerajaan Persekutuan, selain menyindir mereka yang mempersoalkan projek berkenaan sebagai tidak memahami keadaan sebenar.
Mereka membandingkan dengan terminal bas besar di Kuala Lumpur, menyifatkan kecanggihan terminal hanya akan menyusahkan pengguna.
“Kenapa nak sangat stesen bas baru? Kalau tengok apa jadi dekat Terminal Bas Selatan (TBS) dan Terminal Bas Gambang (TBG), sewa kedai jadi mahal. Maka harga makanan pun naiklah. Parking sekarang percuma, selepas ini kena caj. Sekarang turun kereta terus naik bas, nanti masuk stesen kena bayar RM2 setiap penumpang. Stesen sekarang dan berfungsi cantik cukuplah. Karang bising harga barang naik, gaji tak naik,”.
Namun, jika diteliti semula, anak muda yang membangkitkan isu itu bukan pun meminta terminal bas bertaraf kayangan.
Soalannya lebih ringkas iaitu kenapa projek yang sudah dirancang dan dijanjikan berkali-kali masih belum siap.
“Isunya bukan nak stesen bas baru. Isunya adalah kenapa nak buat tapi tak siap-siap. Yang tak siap tu bukan delay setahun dua, tapi berbelas tahun berstatus ‘sementara’,” balas anak muda tersebut.
Dalam ruangan komen, ada juga yang berhujah bahawa stesen bas canggih tidak diperlukan kerana syarikat bas ekspres di Kelantan tidak memerlukan kemudahan sebesar itu.
“Kena faham cara syarikat bas ekspres di Kelantan beroperasi. Stesen yang canggih tidak diperlukan dan sangat membazir,” kata seorang individu.
“Awak nak stesen bas tu macam mana? Yang ada pusat beli belah dan ada hotel ke?,” tanya individu lain pula.
Pada Januari 2026 kerajaan negeri menyatakan pembinaan akan dimulakan pada tahun tersebut, dengan kontraktor disasarkan dilantik selewat-lewatnya Mac.
Kemudian pada Ogos baru-baru ini pula, kerajaan negeri berkata mereka mahu mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu mengejar tarikh siap sehingga berisiko menghasilkan projek terbengkalai.
Untuk rekod, dalam jawapan Parlimen pada Januari 2026, kerajaan Persekutuan sendiri menyatakan perancangan dan pembinaan KB Sentral adalah di bawah Kerajaan Negeri Kelantan.