RCI TH dimula zaman Mahiaddin-Pas, hari ini Hadi tanya kenapa TH sahaja disiasat

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan mengapa Tabung Haji (TH) sahaja menjadi tumpuan siasatan, sedangkan terdapat banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menurutnya turut wajar disiasat.

Abdul Hadi berkata, kerajaan tidak sepatutnya hanya menamakan TH dalam isu berkenaan, sambil mempersoalkan sama ada institusi itu diberi perhatian kerana ia berkaitan dengan umat Islam.

“Mengapa namakan TH sahaja sedangkan yang seperti GLC (tidak dilakukan)… sebab TH ini (milik) orang Islam?

“Lepas itu, mengapa (orang) tertentu sahaja (disiasat)? Yang ada kaitan… yang jadi penyumbang, perantara dan banyaklah… tak menyeluruh tindakan ini.

“Apa ia ada tujuan nak jatuhkan imej Islam, nak salahkan Islam… bukan salahkan orang… yang disebut nama saja, orang tak sebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pas Johor hari ini.

Abdul Hadi juga mempersoalkan mengapa kerajaan baru sekarang mendedahkan siasatan isu berkaitan TH sedangkan perkara berkenaan sudah lama dibangkitkan.

“Kenapa sekarang baru disiasat? Dekat PRN (Pilihan Raya Negeri) baru nak disebut, dekat PRN Negeri Sembilan baru nak disebut. Lepas ini nak pilihan raya umum pula, lama sangat,” katanya lagi.

Persoalan Abdul Hadi itu agak menghairankan kerana RCI berkaitan TH sebenarnya sudah dimulakan ketika Pas sendiri berada di dalam kerajaan.

Penubuhan RCI berkaitan TH telah dipersetujui Kabinet pada Julai 2021 ketika Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menjadi Perdana Menteri. Ketika itu, Pas merupakan sebahagian daripada pentadbiran Perikatan Nasional.

Pada September 2021, Timbalan Menteri Agama ketika itu, Datuk Ahmad Marzuk Shaary daripada Pas, mengesahkan RCI berkenaan akan diteruskan.

Justeru, persoalan mengapa kerajaan “baru sekarang” menyiasat atau mendedahkan isu TH dilihat tidak lengkap tanpa mengambil kira bahawa proses RCI itu sendiri telah diputuskan dan diteruskan ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada kerajaan.