Tongkat Hadi laku RM16,500, rakyat bimbang gejala taksub Pas makin menjadi

Penjualan tongkat kayu kemuning milik Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 malam tadi mencetuskan kegusaran rakyat terhadap gejala taksub melampau kepada pemimpin Pas.

Rata-rata risau budaya kultus pemimpin parti bertopengkan Islam yang menyanjung ketua secara melampau tanpa sebarang soal itu akan menjahanamkan masyarakat jika dibiarkan berkembang.

Fenomena mengagungkan politikus tanpa ruang kritikan dibimbangi menjadi medan subur kepada fenomena kultus personaliti sekaligus akan menenggelamkan perbahasan mengenai nilai, dasar, integriti dan prestasi.

Malah, pemujaan secara berlebihan yang jelas bercanggah dengan tuntutan Islam dikhuatiri akan melarat sehingga tahap apa sahaja barangan dimiliki pemimpin parti dianggap barang keramat.

“Seram, Dah macam cult (kultus),” kata seorang pengguna Threads manakala mohd.anuar.37 pula tegas berkata, “Budaya kultus ketaksuban melampau pada pemimpin, rosak ummah”.

Sementara itu, kamal_reza00 juga berpendapat, “Ini budaya kultus. Ini salah satu bukti Pas sedang bina kultus.”

Dalam masa sama, ada juga netizen berseloroh supaya kopiah dan barangan peribadi Abdul Hadi pula dilelong selepas ini.

“Lelong kopiah putih pula. Mesti banyak simpanan tu. Pasti cecah RM10,000 satu,” perli warganet.

Malam tadi, bekas pendaki Gunung Everest, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Lembah Pantai membeli tongkat Ahli Parlimen Marang itu pada harga RM16,500.

Tongkat tertera ‘TGHH’ yang bermaksud ‘Tuan Guru Haji Hadi’ itu dilelong bagi membantu jentera Pas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

BACA JUGA Tiga tahun dah cukup PH buat kerja? Pas boleh pula pegang Kelantan lebih 30 tahun