FELDA rugi RM9 bilion, Zahid setuju audit forensik
Kerugian FELDA yang mencecah kira-kira RM9 bilion memerlukan penelitian lebih menyeluruh, dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju supaya audit forensik dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah kewangan agensi berkenaan.
Zahid berkata audit pengurusan semata-mata tidak memadai memandangkan masalah FELDA telah berlaku dalam tempoh yang panjang dan melibatkan jumlah kerugian yang besar.
Menurutnya, audit forensik penting bagi menentukan sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau kelemahan tadbir urus dalam pengurusan FELDA.
“FELDA menghadapi masalah yang sangat serius dan telah berlarutan sekian lama. Kerugian RM9 bilion tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif sempena World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sekiranya siasatan menemukan bukti kukuh mengenai sebarang kesalahan, pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
Namun, katanya, proses audit dan siasatan hendaklah dilaksanakan secara profesional serta tidak dijadikan alasan untuk menganiaya atau mengaibkan mana-mana individu.
Pendirian itu turut dilihat selari dengan cadangan supaya isu pengurusan Felda diteliti secara lebih menyeluruh, termasuk kemungkinan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Pada masa sama, Zahid menegaskan kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kebajikan warga FELDA tidak terjejas akibat sebarang proses pembetulan atau penstrukturan yang mungkin dilakukan.
Katanya, kerajaan perlu melindungi kira-kira 225,000 peneroka serta komuniti FELDA daripada generasi pertama hingga kelima yang secara keseluruhannya melibatkan kira-kira 1.8 juta orang.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau akan menunggu laporan penuh Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat isu pengurusan FELDA sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Menurut Anwar, pasukan berkenaan sudah memulakan tugas dan hasil siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat sebelum didedahkan kepada umum.
Perkembangan itu bermakna penelitian terhadap FELDA kini tidak hanya tertumpu kepada berapa besar kerugian yang berlaku, tetapi turut kepada persoalan bagaimana kerugian itu berlaku, keputusan siapa yang dibuat dan sama ada terdapat kelemahan tadbir urus yang perlu diperbetulkan.
Bagi Zahid, angka RM9 bilion bukan sekadar angka dalam laporan kewangan, sebaliknya melibatkan kepentingan dan masa depan jutaan warga FELDA.
Audit biasa mungkin boleh kira berapa yang hilang. Audit forensik pula perlu menjawab persoalan lebih besar ke mana wang pergi dan bagaimana ia boleh berlaku.
BACA JUGA Kemelut PN, ROS belum putus, Pas dah macam tahu semua?