Selepas TH, kini RM119 juta sangkut di Al-Rawda : Generasi ke- 2 FELDA persoal duit KPF ke mana?

Pendedahan mengenai kerugian Tabung Haji (TH) dalam pelaburan dan pajakan hotel di Arab Saudi kini mencetuskan persoalan baharu apabila Koperasi Permodalan FELDA (KPF) didakwa turut mempunyai pendedahan kewangan besar kepada syarikat yang sama.

Persoalan itu dibangkitkan Ridhuan Esa, yang memperkenalkan dirinya sebagai generasi kedua dan ketiga FELDA, selepas laporan kewangan KPF menunjukkan jumlah pembiayaan atau hutang berkaitan Al-Rawda Investment for Real Estate Development & Project Management Ltd meningkat dengan ketara sejak 2015.

Menurutnya, rekod kewangan KPF menunjukkan jumlah hutang Al-Rawda kepada koperasi itu berada pada sekitar RM9.86 juta pada 2015 sebelum meningkat kepada RM40.45 juta pada 2016.

Lebih membimbangkan, katanya, nilai buku pembiayaan yang berkaitan dengan Al-Rawda dalam laporan kewangan KPF bagi 2025 dilaporkan mencecah RM119.38 juta.

Ridhuan mendakwa jumlah tersebut menunjukkan KPF bukan sekadar mempunyai kaitan dengan syarikat yang menjadi perhatian dalam isu pelaburan Tabung Haji, malah turut berdepan persoalan mengenai kemampuan mendapatkan semula dana yang telah dibiayai.

“Ramai yang terkejut apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan kerugian yang dialami oleh Tabung Haji.

“Kita sangka hanya Tabung Haji yang menjadi mangsa. Tetapi hakikatnya, KPF juga turut terpalit dan memberi pembiayaan kepada syarikat yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemelut itu kini semakin serius apabila KPF dilaporkan terpaksa membawa pertikaian berkaitan Al-Rawda ke proses timbang tara antarabangsa bagi mendapatkan semula dana yang tersangkut.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai jumlah pembiayaan dan kedudukan kewangan tersebut perlu dirujuk kepada laporan kewangan KPF serta proses undang-undang yang sedang berjalan bagi menentukan kedudukan sebenar aset dan jumlah yang boleh dipulihkan.

Dalam pada itu, Ridhuan turut membangkitkan persoalan lebih luas mengenai pengurusan KPF, termasuk dakwaan bahawa koperasi itu membayar dividen pada kadar yang menurutnya tidak selari dengan keuntungan sebenar yang dijana kumpulan.

Menurutnya, jika dividen yang dibayar melebihi keuntungan sebenar, keadaan itu berpotensi menghakis modal asal anggota dan menjejaskan kedudukan tunai koperasi dalam jangka panjang.

Beliau turut mendakwa wujud amalan “creative accounting” yang menurutnya boleh menyebabkan pengiktirafan kerugian pelaburan dilengahkan dan nilai aset kelihatan lebih baik daripada keadaan sebenar.

Dakwaan itu, katanya, perlu diteliti secara serius kerana kedudukan tunai yang lemah akhirnya boleh memberi kesan terus kepada anggota, khususnya mereka yang mahu menebus syer ketika berdepan keperluan kewangan.

Ridhuan mendakwa terdapat ahli yang terpaksa menunggu antara dua hingga tiga tahun untuk mendapatkan semula wang daripada syer mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru perwakilan KPF supaya menggunakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebagai ruang untuk mendapatkan penjelasan terbuka daripada pengurusan dan lembaga koperasi.

Katanya, anggota tidak seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada jumlah dividen yang diterima, sebaliknya perlu menilai kesihatan kewangan, tadbir urus, pengurusan risiko dan keupayaan koperasi menjana keuntungan sebenar.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa penyelesaian kepada masalah KPF bukanlah dengan membiarkan institusi itu terus merosot.

Sebaliknya, KPF perlu diperkukuh sebagai institusi ekonomi yang dibina hasil usaha peneroka dan kakitangan FELDA, termasuk melalui kemasukan modal serta penyertaan generasi baharu.

Ridhuan mencadangkan KPF memperluas keahlian dengan menyasarkan penyertaan lebih dua juta warga FELDA, khususnya generasi kedua dan ketiga peneroka serta kakitangan FELDA.

Pada masa sama, beliau menggesa pemilihan anggota lembaga koperasi dibuat berdasarkan kelayakan, kepakaran dan kemampuan mengurus institusi kewangan, bukannya semata-mata kedudukan atau pengaruh politik.

Menurutnya, kemasukan anggota dan modal baharu secara berskala besar berpotensi mengukuhkan semula asas kewangan KPF sekiranya dana tersebut diurus secara berhemah, telus dan profesional.

“Jangan hanya angguk dan setuju dan mendesak untuk dapat dividen tinggi,” katanya.

Bagi generasi FELDA, katanya, isu KPF bukan sekadar soal angka dalam laporan kewangan tetapi menyentuh masa depan sebuah institusi ekonomi yang dibina daripada hasil titik peluh peneroka.

Justeru, persoalan mengenai RM119.38 juta yang dikaitkan dengan pembiayaan Al-Rawda bukan sesuatu yang wajar dipandang ringan, sebaliknya perlu dijelaskan secara telus kepada anggota supaya mereka mengetahui kedudukan sebenar wang dan aset koperasi mereka.

BACA JUGA FGV tak teruskan, kenapa Felda pula masuk Eagle High? – Radzi