Lebih 50 insiden gegar Selatan Thailand, rakyat Malaysia diminta tangguh perjalanan

Rakyat Malaysia yang berada atau merancang perjalanan ke Pattani, Yala dan Narathiwat dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan susulan beberapa kejadian insiden keselamatan berlaku di Wilayah Selatan Thailand itu, baru-baru ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, mereka yang merancang perjalanan ke kawasan berkenaan disarankan supaya mempertimbangkan semula perjalanan tidak penting, khususnya ke kawasan terjejas.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan yang berlaku insiden keselamatan, demonstrasi atau perhimpunan besar serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand termasuk berkaitan sebarang perintah berkurung, penutupan jalan raya dan pemeriksaan keselamatan,” katanya dalam kenyataan Istana Arau, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026 di sekitar mukim Ko Taeo, Songkhla yang diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Ahmad Fahmi turut menasihati rakyat Malaysia agar mengelakkan perjalanan pada waktu malam di kawasan terjejas selain sentiasa mengikuti pengumuman rasmi serta memaklumkan jadual perjalanan kepada ahli keluarga terdekat masing-masing.

Perintah berkurung

Media sebelum ini melaporkan Narathiwat dikenakan perintah berkurung dari 10.15 malam pada 22 Ogos hingga 5 pagi pada 23 Ogos lepas.

Lebih 50 kejadian termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar dilaporkan berlaku di tiga wilayah terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata rakyat Malaysia yang memasuki Thailand menggunakan kenderaan sendiri disarankan membawa lesen memandu asal Malaysia dalam bentuk fizikal dan tidak bergantung sepenuhnya pada lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ.

“Dokumen penting termasuk pendaftaran kenderaan, insurans dan dokumen lain yang diperlukan hendaklah dibawa sepanjang perjalanan bagi memudahkan urusan pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia yang memandu atau menunggang kenderaan di Thailand juga diingatkan supaya sentiasa memakai tali pinggang atau topi keledar serta mematuhi semua peraturan lalu lintas yang ditetapkan pihak berkuasa Thailand,” katanya, lapor Bernama.

Ahmad Fahmi berkata pihak berkuasa Thailand kini giat menguatkuasakan peraturan lalu lintas termasuk terhadap kenderaan dari Malaysia, dan beberapa pemandu rakyat Malaysia dilaporkan dikenakan saman atas kesalahan berkaitan dokumentasi dan lalu lintas.

BACA JUGA ‘Selagi kudrat dan masa masih tersisa’, Anwar janji terus guna kuasa untuk islah negara