‘Depa nak bahas kat TikTok je’, netizen gelak PN mahu RCI baharu Tabung Haji

Desakan Perikatan Nasional (PN) supaya satu lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pentadbiran Tabung Haji (TH) mengundang sindiran netizen.

Ada yang menyindir pembangkang nampaknya lebih gemar “berbahas” di media sosial bukan dalam siding Dewan Rakyat.

Depa nak bahas kat TikTok je,” tulis seorang pengguna Facebook.

Sindiran itu muncul di ruangan komen hantaran pemerhati politik, Jason Yew yang mempersoalkan keperluan RCI baharu selepas laporan RCI TH sedia ada menjadi perhatian umum.

“Nak buat apa RCI Tabung Haji lagi? PN bukan nak bahas pun,” tulis Jason dalam hantaran tersebut.

Seorang lagi netizen, Habibah Yusoff pula mempersoalkan mengapa RCI baharu perlu diwujudkan ketika proses susulan terhadap RCI sedia ada masih berjalan.

“RCI sedia ada masih berjalan proses penyiasatannya, nak suruh buat lagi,” tulisnya sambil disertakan emoji ketawa.

Nada sama disuarakan Shu Mie yang menempelak cadangan membuka satu lagi RCI sebagai sesuatu yang hanya akan menambah kos jika dapatan sedia ada pun tidak dimanfaatkan untuk perbahasan secara serius.

“RCI sekarang pun tak terbahas… nak buka yang baru… buang duit je,” ujarnya.

‘Nak pusing’

Malah, seorang netizen mengingatkan bahawa tempoh yang menjadi perhatian dalam RCI terdahulu turut merangkumi zaman sebelum pentadbiran Kerajaan MADANI.

Lantas, beliau mempersoalkan mengapa dapatan berkenaan tidak sahaja dijawab terlebih dahulu.

“Yang lama kenapa tak betul ka? Yang lama masa PN memerintah jugak… nak pusing ka apa ni,” tulisnya.

Farizah Ismail pula menyindir sikap pihak tertentu yang hanya mahu menerima sesuatu dapatan apabila ia menepati selera politik mereka.

“Sampai kena dengan tekak depa, baru terima,” perlinya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penubuhan RCI baharu bagi menyiasat pentadbiran dan pengurusan TH bermula dari 2018 hingga kini penting bagi memastikan kedudukan dan integriti institusi itu terus dipertahankan secara telus dan adil.

“Kita menganggap perjuangan mempertahankan martabat dan integriti Tabung Haji ini ibarat kita perlu berjuang mempertahankan Baitulmaqdis.

“Mungkin ada kesalahan teknikal yang boleh dibaiki, tetapi bukanlah satu serangan yang menggambarkan seolah-olah institusi ini terjerumus dalam skandal begitu besar,” katanya.

Walau bagaimanapun, desakan PN itu bercanggah dengan tindakan wakil rakyat pembangkang yang keluar dari dewan semasa sidang khas bagi membincangkan Laporan RCI TH pada 11 Ogos lalu.

BACA JUGA Bukan sekadar pesta dan perarakan, PM mahu Maulidur Rasul dihayati dalam kehidupan