Guru buka cerita pasal kuarters, setelah bertahun-tahun era Fadhlina lah baru dibaiki
Perkongsian seorang individu yang bertanya adakah benar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek adalah menteri “paling tak function”, mengundang respons berbeza daripada para guru dan warga sekolah.
Menerusi satu hantaran di Threads, individu bernama Jannah meminta pandangan golongan guru mengenai prestasi Fadhlina selain bertanya sama ada beliau wajar dipecat atau tidak.
“Cikgu betul ke kalian rasa Yb Fadhlina menteri paling tak function berbanding sebelum-sebelum ini. Nak tanya cikgu yang duduk dalam bidang ini. Adakah patut pecat menteri sekarang?,” soalnya.
Hantaran itu menarik perhatian banyak warga guru yang tampil berkongsi pengalaman mereka merasai beberapa perubahan sepanjang tempoh Fadhlina menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).
Perkongsian mengenai kuarters guru paling mendapat perhatian apabila seorang pengguna, yang merupakan suami kepada seorang guru, berkongsi pengalaman tinggal di kuarters guru selama bertahun-tahun.
Dia memuji pembaikan kuarters guru yang semakin diberi perhatian yang menurtnya, berbeza daripada pengalamannya sebelum ini apabila pembaikan kuarters dikatakan mengambil masa yang lama.
“Aku bukan guru tapi suami guru. Aku duduk di kuarters guru bertahun. Kuarters guru paling last sekali dibetulkan itu pun nasib kalau ada peruntukan. Tapi bila kuarters orang berpangkat laju pula diperbetulkan walhal mereka duduk sekejap je.
“Dan bulan ini dalam sejarah kuarters guru kami kembali pulih, kerajaan sekarang provide ramai tukang bersih kuarters sampai longkang semua macam baru.
“Sejak bertahun duduk kuarters guru ini, pertama dalam sejarah aku rasa rumah diperbaiki,” katanya.
Ia turut dipersetujui seorang guru @albaidhawi96 yang mengakui program pembaikan rumah-rumah guru kini semakin rancak.
“RPH siap awal sebab tak ada tulis macam-macam. Tuntutan perjalanan/perpindahan/kursus tidak sampai 24 jam duit masuk dalam bank.
“Fasiliti di sekolah banyak dihantar seperti meja, kerusi, mesin pencetak, komputer riba dan lain-lain. Baiki rumah guru juga semakin rancak,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna lain kerana ia menyentuh isu kemudahan tempat tinggal guru yang jarang menjadi tumpuan apabila prestasi seseorang Menteri Pendidikan dibincangkan.
Walaupun terdapat kritikan terhadap Fadhlina dalam perbincangan berkenaan, respons yang dikongsikan warga pendidik menunjukkan terdapat juga guru dan warga sekolah yang bersyukur dapat merasai manfaat sepanjang tempoh beliau menerajui KPM.