Ada keadaan mencurigakan, Ramkarpal mahu punca kematian pelajar 14 tahun dibongkar
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa inkues dijalankan bagi menyiasat kematian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang didakwa pernah mengadu menjadi mangsa buli dan berdepan tekanan.
Ketua Biro Undang-Undang DAP itu berkata, inkues wajar diadakan mengikut Kanun Tatacara Jenayah berikutan terdapat keadaan mencurigakan di sebalik kematian pelajar Tingkatan Dua SMK Danau Kota terbabit.
“Prosiding inkues juga penting bagi menentukan punca sebenar kematian selain memberi jawapan kepada keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes kematian atau kecederaan serius akibat buli bukan perkara baharu dan beberapa kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini.
“Kes kematian atau kecederaan serius akibat buli pernah berlaku pada masa lalu, termasuk kes T Nhaveen pada 2017, Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun yang sama dan Muhammad Alif Sultan Alias pada 2016.
“Selain itu, terdapat juga kes seorang pelajar perempuan di Sarawak yang mengalami serangan kejam pada April 2014,” jelasnya.
Beliau berkata, semua usaha perlu dilakukan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, termasuk memastikan setiap dakwaan berkaitan buli disiasat secara menyeluruh.
Sehubungan itu, Ramkarpal menggesa Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menjelaskan sama ada inkues akan dijalankan berhubung kematian pelajar berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan G. Keziah Nisha, 14, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Ogos lalu.
Siasatan kematian remaja terbabit membawa kepada penahanan teman lelaki ibunya bagi membantu siasatan kes gangguan seksual terhadap kakak mangsa berusia 15 tahun.
Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes berasingan membabitkan kakak mangsa.
BACA JUGA Presiden Gerakan pakai songkok tak apa, kalau DAP buat, mesti dah kena ‘sembur’