RCI dah siap, SPRM pun dah siasat, forum dihadiri BN-PN politikkan isu RCI Tabung Haji
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sudah pun mendedahkan isu salah tadbir urus dan siasatan penguatkuasaan sedang berjalan.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, desakan supaya ditubuhkan badan khas di bawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), selain gesaan supaya RCI 2.0 diwujudkan adalah tidak perlu.
“Laporan RCI TH itu membuktikan wujud salah tadbir urus. Maka biarlah SPRM dan PDRM teruskan siasatan.
“Oleh itu perlukah PAC? Apakah PAC ada bidang kuasa macam SPRM dan PDRM?
“RCI 2.0. juga tidak perlu. Siasatan sudah bermula. CEO sudah direman. Maka kita tunggu kalau ada sakau,” tegasnya menerusi kenyataan sebentar tadi.
Puad berkata demikian mengulas penganjuran forum “Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” oleh Musyawarah Nasional 2.0 di Premiera Hotel, Kuala Lumpur semalam.
“Majoriti yang hadir adalah pemimpin BN dan PN. Tujuan sebenar forum itu ialah untuk melemahkan kredibiliti laporan RCI-TH,” tegas bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu.
Buang masa
Untuk rekod, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadiri program itu menyokong cadangan supaya PAC meneliti pengurusan TH selepas 2017.
Setiausaha Agung Umno yang juga Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap dalam program itu membangkitkan isu pemindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah dan kemampuan UJSB memenuhi obligasinya kepada TH.
Sementara itu, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad hadir sebagai salah seorang panel utama forum tersebut.

Madinah ketika menjawab pertanyaan peserta mengenai dakwaan ‘sakau’ berkata, beliau tidak memahami istilah itu dan menegaskan audit JAN ketika beliau menjadi Ketua Audit Negara tidak menemukan bukti kecurian atau penyelewengan.
Mengulas lanjut, Puad berkata, cadangan RCI 2.0 tidak lagi diperlukan memandangkan proses siasatan sudah bermula, termasuk tindakan reman terhadap individu berkaitan.
“Justeru jangan lagi buang masa. RCI 2.0 dan PAC hanya strategi untuk melengah-lengahkan tindakan undang-undang,” kata bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan.
Dalam pada itu, Puad turut mengkritik Madinah Mohamad yang tidak memberikan jawapan jelas ketika ditanya media sama ada laporan RCI akan berbeza sekiranya keterangannya turut diambil oleh suruhanjaya tersebut.
“Madinah juga tidak berani menjawab soalan media apakah laporan RCI itu akan berbeza jika keterangannya diambil oleh RCI,” tegasnya.
Sehubungan itu, Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) menyifatkan program dihadiri pemimpin BN dan PN itulah sebenarnya telah mempolitikkan isu laporan RCI TH.
BACA JUGA Guru buka cerita pasal kuarters, setelah bertahun-tahun era Fadhlina lah baru dibaiki