Syahredzan Persoal Umno-Pas: Dulu desak tubuh RCI Tabung Haji, sekarang pertikai pula
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mempersoalkan pendirian Umno dan Pas yang kini mempertikaikan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, sedangkan kedua-dua parti itu sebelum ini antara pihak yang mendesak dan bersetuju dengan penubuhannya.
Menurut Syahredzan, sejarah penubuhan RCI itu sendiri jelas.
Desakan supaya siasatan diraja dilakukan terhadap isu pengurusan Tabung Haji pernah datang daripada Umno dan Pas, manakala keputusan menubuhkannya dibuat ketika kedua-dua parti berada dalam kerajaan.
“Yang desak buat RCI Tabung Haji dulu, Umno dan Pas.
Yang buat keputusan dalam Jemaah Menteri untuk buat RCI, Jemaah Menteri kerajaan yang ada Umno dan Pas.
Yang sekarang pertikai RCI, juga Umno dan Pas,” katanya.
Syahredzan menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang pelik kerana pihak yang dahulunya mahukan RCI kini dilihat mempertikaikan proses yang mereka sendiri sokong.
“Dia desak, dia setuju untuk tubuh, kemudian dia pula pertikai,” katanya.
Malah, pada 21 Januari 2022, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Idris Ahmad daripada Pas sendiri mengumumkan penyerahan watikah pelantikan kepada anggota RCI Tabung Haji.
Dalam kenyataannya ketika itu, Idris menyebut bahawa penubuhan RCI merupakan “hasrat ramai pihak termasuklah diri saya” dan menegaskan Tabung Haji sebagai institusi kewangan Islam yang perlu dijaga serta dipertahankan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu atas perkenan penubuhan RCI bagi menyiasat isu berkaitan pengurusan dan operasi Tabung Haji.
RCI tersebut dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif dan turut dianggotai beberapa tokoh berpengalaman dalam pentadbiran, kewangan, perbankan serta bidang Syariah.
Bagi Syahredzan, rekod itu menunjukkan penubuhan RCI bukanlah sesuatu yang dipaksakan oleh kerajaan hari ini.
Sebaliknya, ia lahir daripada desakan dan keputusan yang dibuat ketika Umno dan Pas sendiri mempunyai peranan dalam kerajaan.
Justeru, apabila RCI yang pernah mereka desak dan tubuhkan kini dipertikaikan, persoalan yang timbul cukup mudah: mengapa berubah pendirian?
Jika RCI dahulu dianggap perlu demi menjaga amanah pendeposit dan masa depan Tabung Haji, hasil siasatannya juga sepatutnya dinilai berdasarkan fakta dan bukti, bukannya berdasarkan siapa yang selesa atau tidak selesa dengan penemuannya.