‘Setuju dengan Akmal, dedah semuanya termasuk hal tak selesa untuk Umno’

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menyelar respon terbaru Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang mempertahankan desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu mengenai Tabung Haji (TH) ditubuhkan.

Beliau mempersoalkan sama ada semua pihak perlu mengikut telunjuk Umno dan Akmal sebelum mereka berpuas hati dengan dapatan RCI Tabung Haji.

Sedangkan kata beliau, Akmal lah yang sebelum ini lantang mendesak supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan.

“Tetapi apabila apa yang didedahkan tidak menepati naratif politik yang mahu beliau bawa, beliau cuba mengalihkan tiang gol pula. 

“Persoalannya mudah. Adakah semua orang perlu ikut telunjuk Akmal dan Umno sehingga kita mendapat jawapan yang Umno mahu?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Danish mengingatkan Akmal bahawa RCI Tabung Haji bukan ditubuhkan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Justeru kata beliau, tidak wajar kesalahan dialihkan kepada kerajaan yang mentadbir hari ini. 

“Jadi kalau tidak puas hati dengan dapatan RCI, jangan pula cuba alihkan kesalahan kepada kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, Umno mempunyai Ahli Parlimen dan juga merupakan sebahagian daripada kerajaan, justeru perkara yang dirasakan tidak lengkap dalam laporan RCI boleh dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Kalau ada perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap, bawa ke Parlimen. Bahas. Tanya. Desak jawapan.

“Kalau ada bukti baharu, serahkan untuk disiasat. Tidak kira siapa terlibat. Kita tidak perlu lindungi sesiapa,” katanya.

Danish turut mempersoalkan mengapa beberapa perkara dalam laporan RCI seperti “creative accounting”, kelemahan tadbir urus dan pelaburan yang mengalami kerugian sehingga 100 peratus tidak menjadi tumpuan Akmal.

“Ini semua persoalan besar yang sepatutnya Saudara Akmal dan Umno jawab dan perjuangkan. Anehnya, bab ini senyap pula,” katanya.

Beliau pada masa sama bersetuju dengan gesaan Akmal supaya laporan RCI didedahkan sepenuhnya termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk Umno sendiri.

“Dedahkan semuanya. Bahaskan semuanya. Termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk Umno sendiri. Jangan hanya memilih bahagian tertentu untuk mengukuhkan naratif politik.

“Jangan ulang perangai lama dalam isu 1MDB. Bila perkara pokok sudah berada depan mata, tiang gol dialihkan. Isu lain dibesarkan. Akhirnya perkara sebenar cuba dikaburkan dan disucikan.

“Tabung Haji bukan milik Umno, bukan milik PKR. Bukan milik mana-mana parti. Ini duit dan amanah jutaan pendeposit. Jadi jangan politikkan RCI hanya kerana hasilnya tidak kena dengan skrip sendiri.

“Kalau benar mahu kebenaran, terima kebenaran itu sepenuhnya. Jangan cari RCI sampai jumpa jawapan yang kita suka,” tegasnya.