Meludah ke langit? Akmal persoal RCI TH, tapi lupa ia lahir ketika PN berkuasa
Desakan Datuk Dr Akmal Saleh supaya isu Tabung Haji(TH) disiasat semula mencetuskan persoalan lain apabila seorang pemerhati politik mengingatkan bahawa RCI yang kini dipertikaikannya itu sendiri ditubuhkan ketika Umno dan Pas masih berada dalam kerajaan.
Pemerhati politik Jason Yew berkata, agak menghairankan apabila Akmal kini mempersoalkan dapatan RCI Tabung Haji sedangkan proses penubuhan suruhanjaya itu bermula ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Akmal Saleh berdegar-degar bising minta laporan RCI Tabung Haji didedahkan sepenuhnya. Kononnya tak mahu separuh-separuh.
“Tapi dia lupa agaknya. RCI ini bukan ditubuhkan oleh orang lain,” katanya dalam ulasan mengenai perkembangan tersebut.
Rekod rasmi menunjukkan Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Pada ketika itu, Umno merupakan sebahagian daripada kerajaan PN manakala portfolio Hal Ehwal Agama diterajui wakil Pas, Idris Ahmad.
Bagaimanapun, pelantikan enam anggota RCI itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 20 Januari 2022, diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif. Suruhanjaya tersebut kemudian menyelesaikan prosiding pada Julai 2022.
Justeru, menurut Jason, persoalan yang lebih wajar ditanya ialah mengapa dapatan sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan ketika kerajaan terdahulu berkuasa kini seolah-olah cuba dipersoalkan semula apabila hasilnya tidak memenuhi naratif politik sesetengah pihak.
Akmal yang juga Ketua Pemuda Umno, sebelum ini mempersoalkan kandungan laporan RCI selepas ia didedahkan kepada umum, termasuk bertanya siapa ahli politik Umno yang dikatakan terlibat dalam perbuatan “sakau”.
Beliau kemudian mempertahankan gesaan supaya RCI baharu diwujudkan dan mahu isu pemindahan aset Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah turut diperjelaskan.
Jason berkata, jika benar ada persoalan terhadap laporan berkenaan, ia sepatutnya dibahaskan berdasarkan fakta, dokumen dan dapatan RCI, bukannya dengan menimbulkan persepsi seolah-olah seluruh proses itu perlu dimulakan semula.
“Kalau laporan RCI itu dipertikaikan, sebenarnya Akmal sedang mempersoalkan kerja sebuah kerajaan dan proses institusi yang berlaku ketika Umno dan Pas berada dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, laporan RCI yang kini sudah didedahkan bukan sekadar dokumen politik kerana ia mengandungi dapatan dan syor berkaitan pengurusan serta operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan setebal 211 halaman itu diterbitkan JAKIM pada 29 Julai lalu dan mengandungi penemuan serta 25 syor penambahbaikan.
Kerajaan kemudian menyerahkan dapatan berkenaan kepada agensi penguat kuasa untuk tindakan lanjut jika terdapat pelanggaran undang-undang.
Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sebelum ini memaklumkan lebih 75 peratus daripada 25 syor RCI telah dilaksanakan, manakala baki syor masih dalam proses pelaksanaan.
Audit forensik terhadap pelaburan bermasalah turut dijalankan dan laporan dibuat kepada PDRM serta SPRM.
Dalam keadaan itu, Jason berpandangan perdebatan mengenai Tabung Haji sepatutnya kembali kepada persoalan yang lebih penting iaitu memastikan dapatan RCI diteliti, syor dilaksanakan dan sekiranya wujud unsur jenayah, pihak berkuasa mengambil tindakan tanpa mengira siapa yang terbabit.
“Kalau mahu kebenaran, kita kena terima keseluruhan dapatan, termasuk bahagian yang mungkin tidak selesa untuk Umno, Pas atau mana-mana parti,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata tuntutan supaya segala perkara didedahkan perlu dibuat secara konsisten, bukan hanya apabila sesuatu dapatan boleh digunakan untuk menyerang kerajaan semasa.
“Jangan sampai hasil kerja ketika berkuasa dahulu dipersoalkan semula hanya kerana hasilnya tidak sesuai dengan naratif politik hari ini. Itu ibarat meludah ke langit, akhirnya terkena muka sendiri,” katanya.
Perdebatan mengenai RCI Tabung Haji dijangka terus menjadi isu politik selepas Akmal sekali lagi mempertahankan gesaan supaya RCI baharu ditubuhkan bagi meneliti perkara yang tidak termasuk dalam skop RCI asal.
Namun persoalan yang kini lebih menarik ialah sama ada tuntutan itu benar-benar bertujuan mencari jawapan baharu, atau sekadar membuka semula fail lama yang RCI sendiri sudah selesai menyiasat.
RCI sudah dibuat, laporan sudah dibuka, syor sedang dilaksanakan dan siasatan penguat kuasa berjalan jadi sebelum minta RCI baru, mungkin elok tanya dulu: RCI yang lama ini, sudah habis dibaca atau belum?
BACA JUGA Syahredzan Persoal Umno-Pas: Dulu desak tubuh RCI Tabung Haji, sekarang pertikai pula