Nak jogging atau elak ‘periuk api’?, jalan penuh najis lembu di Kelantan jadi bahan sindiran

Hasrat penduduk untuk berjoging dengan tenang di kawasan Taman Halal, Rantau Panjang di Kelantan nampaknya memerlukan satu lagi kemahiran tambahan iaitu mengelak najis lembu yang bertaburan di atas jalan.

Gambar keadaan jalan yang dipenuhi najis haiwan itu yang dikongsikan di laman Facebook Info Rakyat Dalam Kelantan (IRDK) mencetuskan pelbagai reaksi sinis netizen.

Rata-rata mempersoalkan tahap kebersihan serta tindakan pihak berkuasa tempatan di negeri yang sudah lebih 30 tahun ditadbir Pas.

Pengadu, Adlin Nasri berkata, keadaan jalan di lokasi aktiviti riadah orang ramai itu dicemari najis lembu menyebabkan keselesaan dan kebersihan kawasan itu dipersoalkan.

Menurutnya, aduan juga sudah beberapa kali disampaikan kepada MDPM, tetapi masalah berkenaan masih berlarutan sehingga beliau secara sinis mempersoalkan slogan “Membangun Bersama Islam” yang sinonim dengan pentadbiran Kelantan.

“Saya ingin bertanya, adakah tiada sebarang tindakan daripada pihak berwajib? Taman Halal di Rantau Panjang ini merupakan tempat orang ramai berjoging, tetapi kawasan tersebut dipenuhi najis lembu.

“Sudah beberapa kali surat aduan dihantar kepada MDPM (Majlis Daerah Pasir Mas), namun seolah-olah tiada tindakan diambil.

“Beginikah yang dimaksudkan dengan ‘Membangun Bersama Islam’?” katanya yang kemudian meraih perhatian netizen.

Cukai pintu

Menjengah ke ruangan komentar, ada yang berseloroh bahawa kawasan berkenaan mungkin sudah bertukar menjadi “tempat lembu brisk walk”.

Seorang pengguna turut menyindir, “Negeri Kelantan nak jogging pun tiada tempat,” manakala seorang lagi secara sinis berkata, lembu yang bebas membuang najis di situ turut membayar cukai pintu.

Tidak kurang juga yang memerli tindakan mungkin sukar dilakukan kerana bimbang nanti dituduh tidak menyokong Islam memandangkan negeri itu berada di bawah pentadbiran Pas.

Dalam masa sama, netizen turut mencadangkan lembu-lembu berkeliaran itu dijual dan hasilnya digunakan untuk pembangunan.

“Boleh buat latihan komando sini. Teknik mengelak periuk api dan tahan nafas dari dikesan musuh.

“Puak ni ada hati nak rampas Selangor.

“Eh takpa, asalkan slogan tu membangun bersama Isley walau hakikatnya lapar ko jawatan jah blako kijo tak buat.

“Nak mundur undi Pas,” demikian antara komentar sinis netizen.

BACA JUGA Umno jangan berdalih, akuilah ada ‘sakau’ & hakikat salah tadbir Tabung Haji