RENCANA : PMX dan seni mengurus negara: Wira yang tidak didendang dalam reformasi ekonomi

Oleh Dr Azrie Azeh

Kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya dinilai hanya melalui harga barang, jumlah bantuan atau projek pembangunan yang dapat dilihat secara langsung, sebaliknya turut perlu diukur berdasarkan kekuatan kewangan negara dan keupayaan membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Dalam konteks itu, pengurusan ekonomi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, wajar dinilai berdasarkan trajektori fiskal, keberkesanan reformasi, disiplin perbelanjaan serta usaha memperkukuh institusi kewangan negara.

Antara perkembangan paling ketara ialah penurunan defisit fiskal Malaysia yang menunjukkan trend konsisten sejak 2022. Defisit berkurang daripada 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023, 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus pada 2025.

Kementerian Kewangan mengesahkan defisit fiskal 2025 sebanyak 3.7 peratus KDNK, lebih rendah berbanding 4.1 peratus pada 2024 dan mengatasi sasaran awal kerajaan sebanyak 3.8 peratus.

Dalam tempoh tiga tahun, pengurangan defisit itu bersamaan 1.8 mata peratusan KDNK. Jika dibandingkan dengan 2021, ketika defisit berada pada 6.4 peratus, penurunannya mencapai 2.7 mata peratusan.

Angka berkenaan penting kerana defisit merupakan aliran kewangan tahunan, manakala hutang ialah jumlah stok yang terkumpul. Justeru, pengurangan defisit tidak bermaksud hutang negara terus mengecil, tetapi menunjukkan keperluan kerajaan untuk mendapatkan pembiayaan baharu bagi menampung jurang fiskal semakin berkurangan.

Pada masa sama, kerajaan tidak boleh menafikan hakikat bahawa hutang Kerajaan Persekutuan masih tinggi. Pada akhir 2025, hutang kerajaan mencecah kira-kira RM1.3208 trilion atau sekitar 65.3 peratus daripada KDNK.

Namun, angka hutang tersebut perlu dilihat bersama trajektori pembiayaan baharu kerajaan. Pembiayaan baharu tahunan berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM76.8 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025.

Ini bermakna pembiayaan baharu tahunan menyusut kira-kira RM23.8 bilion atau hampir 24 peratus dalam tempoh tersebut. Maka, kenyataan bahawa hutang negara meningkat adalah benar dari segi nilai nominal, tetapi tidak tepat jika disimpulkan kerajaan semakin berhutang tanpa kawalan.

Hakikatnya, kerajaan sedang berusaha memperlahankan pertambahan pembiayaan baharu melalui proses konsolidasi fiskal. Dalam masa sama, struktur hutang juga perlu diberi perhatian kerana kira-kira 98.4 peratus hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir 2025 merupakan hutang domestik.

Reformasi penting

Struktur itu secara relatif mengurangkan pendedahan langsung kerajaan kepada risiko pertukaran asing, walaupun ia tidak bermakna hutang domestik bebas daripada risiko. Kerajaan masih perlu mengurus kos pembiayaan, kadar faedah, jadual kematangan dan keupayaan pembiayaan semula.

Satu lagi tonggak penting reformasi ialah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 atau Akta 850. Akta berkenaan membawa pendekatan pengurusan kewangan negara yang lebih berasaskan peraturan, akauntabiliti dan ketelusan, berbanding bergantung sepenuhnya kepada budi bicara politik.

Antara aspirasi utama kerangka tersebut ialah usaha mengurangkan defisit fiskal kepada sekitar tiga peratus KDNK atau lebih rendah serta membawa hutang Kerajaan Persekutuan kepada 60 peratus KDNK atau kurang dalam jangka sederhana.

Dalam erti kata lain, reformasi fiskal bukan sekadar menjawab persoalan berapa banyak kerajaan boleh berbelanja, tetapi turut menentukan bagaimana wang awam perlu dibelanjakan, untuk tujuan apa dan sejauh mana kerajaan wajar berhutang.

Pada masa sama, konsolidasi fiskal tidak boleh dilakukan dengan hanya memotong perbelanjaan sehingga membebankan rakyat. Pendidikan, kesihatan, keselamatan, infrastruktur serta perlindungan golongan rentan tetap memerlukan peruntukan kerajaan.

Sebab itu pendekatan Kerajaan MADANI turut memberi penekanan kepada reformasi hasil dan bantuan bersasar. Peruntukan STR dan SARA misalnya meningkat daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2025, termasuk Penghargaan SARA RM100 kepada kira-kira 22 juta rakyat dewasa.

Pendekatan tersebut menunjukkan konsolidasi fiskal tidak semestinya bermaksud kerajaan berhenti membantu rakyat. Sebaliknya, struktur bantuan boleh diubah supaya sumber awam lebih tertumpu kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Reformasi subsidi juga perlu dilihat dalam kerangka sama. Subsidi pukal boleh menyebabkan manfaat dinikmati oleh semua kelompok pendapatan, termasuk golongan yang tidak memerlukan bantuan kerajaan, manakala subsidi bersasar bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber terhad.

Subsidi bersasar

Pada masa sama, kejayaan reformasi ekonomi tidak boleh hanya diukur melalui defisit dan hutang. Prestasi pertumbuhan juga penting. Ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, meningkat daripada 5.1 peratus pada 2024, manakala pertumbuhan pada suku keempat mencapai 6.3 peratus.

Dalam tempoh sama, inflasi berada pada 1.4 peratus dan kadar pengangguran pada 2.9 peratus. Gabungan indikator itu menunjukkan konsolidasi fiskal berlaku ketika ekonomi negara masih berkembang dan tidak berada dalam keadaan penguncupan.

Namun, pertumbuhan ekonomi tidak boleh dikaitkan sepenuhnya kepada dasar kerajaan kerana ia turut dipengaruhi penggunaan swasta, pelaburan, eksport, perdagangan global, dasar monetari serta perkembangan ekonomi serantau.

Justeru, ukuran sebenar kejayaan pengurusan kewangan negara ialah keupayaan mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kemampanan fiskal dan keadilan sosial. Dalam kerangka inilah Anwar boleh dilihat sebagai “wira yang tidak didendang” kerana banyak pembaharuan fiskal tidak menghasilkan kesan dramatik yang boleh dilihat serta-merta oleh rakyat.

Tiada pita dipotong apabila defisit berjaya dikurangkan dan tiada sambutan besar apabila penerbitan hutang baharu berjaya diperlahankan. Namun, keputusan seperti itu penting untuk membina ruang fiskal negara agar kerajaan mempunyai kapasiti bertindak ketika berdepan kejutan ekonomi pada masa depan.

Bagaimanapun, penilaian terhadap PMX tidak boleh berubah menjadi pujian tanpa kritikan. Hutang masih tinggi, nisbah hutang masih melebihi sasaran jangka sederhana, kos khidmat hutang kekal menjadi komitmen besar dan kos sara hidup masih dirasai rakyat walaupun inflasi keseluruhan rendah.

Kerajaan juga masih perlu memperkukuh asas hasil, meningkatkan keberkesanan perbelanjaan serta memastikan manfaat reformasi benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pendapatan benar, mobiliti sosial dan kualiti perkhidmatan awam.

Dengan itu, reformasi fiskal perlu dilihat sebagai proses jangka panjang dan bukannya kejayaan yang boleh diselesaikan dalam satu belanjawan. Apa yang lebih penting ialah sama ada trajektori pembetulan itu dapat dikekalkan secara konsisten.

Dalam konteks tersebut, angka-angka sejak 2022 memberikan asas untuk menilai kepimpinan PMX secara lebih objektif. Defisit menurun, pembiayaan baharu diperlahankan, ekonomi terus berkembang dan bantuan bersasar kepada rakyat diperkukuh.

PMX bukanlah pemimpin yang telah menghapuskan hutang negara atau menyelesaikan seluruh masalah kos sara hidup. Namun, beliau mengetuai proses pembetulan yang memerlukan keberanian politik untuk memperkemas subsidi, meningkatkan hasil, memperlahankan pembiayaan baharu dan menginstitusikan disiplin fiskal.

Keberanian fiskal bukan sekadar keberanian untuk berbelanja, tetapi keberanian mengatakan tidak kepada perbelanjaan yang kurang produktif, sambil memastikan golongan rentan tidak ditinggalkan.

Akhirnya, sejarah ekonomi sesebuah negara mungkin tidak mengingati siapa yang paling lantang berpidato, tetapi lebih cenderung mengingati pemimpin yang berjaya memperkukuh asas negara ketika pembaikan paling diperlukan. 

Jika reformasi ini berjaya memperluas ruang fiskal, meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan membina sistem perlindungan sosial yang lebih bersasar, sumbangan PMX mungkin hanya benar-benar difahami selepas masa berlalu.

BACA JUGA RCI TH dah siap, kenapa Umno-Pas masih mahu pusing cerita?