Lepas bekas CEO, kini bekas Pengerusi Tabung Haji pula ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini menahan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga ahli politik.

Penahahan itu bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Turut ditahan adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan yang sedang meraih perhatian rakyat itu.

Laman TikTok SPRM mendedahkan kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Malaysia Gazette melaporkan identiti kedua-duanya sebagai Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Azeez merupakan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji manakala Irwan Serigar adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.

Mereka dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman esok.

Pada 21 Ogos lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman tujuh hari berkaitan laporan RCI TH.

Perintah reman sehingga esok dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

BACA JUGA ‘Depa nak bahas kat TikTok je’, netizen gelak PN mahu RCI baharu Tabung Haji