Jangan sesekali bela kaki rasuah dan pengkhianat, dahulu masa berkuasa Pas buat apa isu RCI TH

Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya dipersoalkan dari sudut politik kerana proses penubuhan suruhanjaya itu sendiri bermula ketika beberapa pemimpin yang kini mengkritiknya masih berada dalam kerajaan.

Ketua Penerangan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Syam Ghaz, berkata keputusan Kabinet menubuhkan RCI berkenaan dibuat pada 14 Julai 2021, ketika Takiyuddin Hassan merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Katanya, Idris Ahmad pula ketika itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala Ahmad Marzuk Shaary memegang jawatan timbalan menteri bagi portfolio sama.

“RCI ini juga hasil tangan mereka, kini mereka mempersoalkan balik?

“Datuk Takiyuddin yang kata RCI ini dimanipulasi adalah Menteri Undang-Undang ketika Kabinet bersetuju menubuhkan RCI pada 14 Julai 2021,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Syam turut mempersoalkan kritikan terhadap pendedahan laporan tersebut sedangkan proses RCI diteruskan ketika kerajaan terdahulu masih berkuasa, termasuk pelantikan anggota suruhanjaya pada Januari 2022.

“Idris Ahmad kata kenapa dedah sekarang, sedangkan ketika RCI tengah berjalan dulu dia adalah Menteri Agama.

“Marzuk Shaary pula kata tak jumpa ‘sakau’, sedangkan dia adalah Timbalan Menteri Agama masa itu,” katanya.

Mempertikaikan pendedahan

Menurut Syam, laporan RCI berkenaan kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022 selepas suruhanjaya menjalankan siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Beliau berkata, persoalan yang perlu diberi perhatian kini ialah tindakan susulan terhadap dapatan RCI dan bukan usaha mempertikaikan pendedahan laporan tersebut.

“RCI siap masa kamu berkuasa dulu. Laporan dipersembahkan kepada YDPA pada 30 Ogos 2022, tetapi tidak didedahkan kepada umum ketika itu. Kenapa?” soalnya.

Dalam pada itu, Syam berkata kerajaan MADANI mengambil pendekatan bertanggungjawab dengan mendedahkan laporan tersebut serta menyerahkan sebarang unsur kesalahan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

Beliau turut menegaskan prestasi TH kini menunjukkan perkembangan positif dengan kadar agihan keuntungan meningkat daripada 3.10 peratus pada 2023 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.50 peratus bagi 2025.

“Jelas Tabung Haji semakin kukuh. Zaman Kerajaan MADANI pimpinan PMX, kadar agihan keuntungan meningkat dan simpanan lebih 9.7 juta pendeposit terus dilindungi,” katanya.

Syam pada masa sama menggesa supaya siasatan terhadap sebarang kemungkinan salah laku dalam pengurusan TH diserahkan kepada agensi penguatkuasaan dan tidak dijadikan semata-mata bahan pertikaian politik.

“Sekarang biar mereka disiasat dan biar mahkamah buat keputusan.

“Bukannya sibuk cari salah Kerajaan MADANI yang berani dedahkan salah laku dalam RCI Tabung Haji, tetapi pada masa sama cuba ‘back up’ si pelaku,” katanya.

Beliau turut menyentuh tindakan SPRM yang menjalankan siasatan susulan dapatan RCI berkenaan, termasuk penahanan beberapa individu bagi membantu siasatan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu menunjukkan perkara berkenaan kini berada pada fasa siasatan dan tidak lagi sekadar menjadi perbahasan politik.

“Jangan sesekali bela kaki rasuah dan pengkhianat Tabung Haji. Kita doakan Allah SWT membalas terhadap semua pengkhianatan yang telah dilakukan terhadap amanah lebih 9.7 juta pendeposit TH,” katanya.

BACA JUGA Lepas bekas CEO, kini bekas Pengerusi Tabung Haji pula ditahan SPRM