Madinah vs barisan panel RCI Tabung Haji, rakyat tahu siapa lebih wajar dipercayai
Kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mengenai isu Tabung Haji (TH) dilihat terus memancing perdebatan di media sosial.
Ramai mula membandingkan pandangannya dengan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat pengurusan dan operasi institusi itu dari 2014 hingga 2020.
Kelmarin, Madinah dalam forum dihadiri pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dia tidak menemui bukti kecurian ketika mengetuai Jabatan Audit Negara antara 2017 hingga 2019.

Malah, Madinah yang memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menegaskan dia akan menjadi individu pertama melaporkannya kepada pihak berkuasa jika bukti sedemikian ditemukan.
Namun, rata-rata netizen berpendapat pandangan seorang bekas Ketua Audit Negara tidak harus mengatasi keseluruhan proses RCI yang ditubuhkan khusus untuk menyiasat isu pengurusan dan operasi TH secara lebih teliti.

Beberapa hantaran media sosial turut mengungkit hubungan keluarga Madinah, 69, dengan seorang pemimpin Umno Kepong serta kenyataan politik lama suaminya berkaitan Datuk Seri Najib Razak.
Untuk rekod, anggota RCI TH dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada 20 Januari 2022 ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.

Panel ini dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif, bersama lima anggota lain iaitu Tan Sri Samsudin Osman, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid, Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim, dan Norsyahrin Hamidon.
Pembangkang buat lupa
Tohmahan pembangkang kononnya laporan RCI TH berkenaan merupakan “projek PH” juga tersasar memandangkan proses utama siasatan dan penyediaan laporan itu berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
RCI itu bukannya ditubuhkan oleh kerajaan PH pimpinan Anwar sebaliknya keputusan awal mewujudkan RCI terbabit dibuat ketika pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Pembangkang juga buat lupa bahawa laporan RCI itu sudah pun siap pada 19 Julai 2022 dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos tahun sama.
Kerajaan MADANI pula akhirnya membuka laporan tersebut kepada pengetahuan rakyat termasuk jutaan pendeposit TH pada 29 Julai lalu selepas dokumen berkenaan dikelaskan semula sebagai dokumen terbuka.
Namun, pemimpin PN dan BN dilihat mempolitikkan hasil laporan RCI Tabung Haji yang dibentangkan kepada rakyat apabila berkumpul dalam forum Musyawarah Nasional 2.0 kelmarin.
Antara yang hadir ialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama beberapa Ahli Parlimen Pas.
Ironinya, mereka memilih tajuk “Realiti dan Persepsi – Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” selepas RCI TH mendedahkan kepincangan keputusan pelaburan dan tadbir urus yang sebahagian besarnya berakar sebelum perubahan kerajaan pada 2018.
Suruhanjaya itu memaklumkan sebanyak 14 pelaburan dikenal pasti bermasalah, tujuh daripadanya rugi 100 peratus dengan jumlah keseluruhan kerugian berkaitan 14 pelaburan itu mencecah hampir RM13 bilion.
BACA JUGA Jangan sesekali bela kaki rasuah dan pengkhianat, dahulu masa berkuasa Pas buat apa isu RCI TH