62,386 Jalur Gemilang dikibarkan di tiga Wilayah Persekutuan sempena Bulan Kebangsaan

FOTO BERITA: Program Aspirasi Jalur Gemilang: Mural Kemerdekaan bersama YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) di Atrium Menara Seri Wilayah, Blok 2 Jabatan Wilayah PersekutuanPresint 2, Putrajaya. 27hb Ogos 2026 (Khamis)

Sebanyak 62,386 Jalur Gemilang telah digantung dan dikibarkan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak awal Ogos sebagai sebahagian usaha menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Inisiatif itu dilaksanakan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama agensi berkaitan menerusi pelbagai program bersempena tema HKHM 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, bagi meningkatkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.

Jalur Gemilang berkenaan dipasang di jalan-jalan protokol, kawasan awam serta kawasan perumahan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sebagai simbol keberanian, kesetiaan dan kebanggaan rakyat terhadap tanah air.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh turut menyempurnakan Mural Kemerdekaan menerusi Program Aspirasi Jalur Gemilang di Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya.

Mural sepanjang 25.40 meter itu dihasilkan secara gotong-royong oleh warga JWP dan agensi selepas inisiatif sukarelawan bermula pada 17 Ogos lalu.

Ia memaparkan mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selain Jalur Gemilang sebagai elemen utama yang menggambarkan kedaulatan serta identiti negara.

Menurut JWP, penghasilan mural itu bukan sekadar menceriakan ruang di Menara Seri Wilayah, malah menjadi medium untuk memupuk semangat kebersamaan dan patriotisme dalam kalangan warga kerja.

Pada masa sama, seluruh warga Wilayah Persekutuan digalakkan terus mengibarkan Jalur Gemilang, khususnya menjelang sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada 30 Ogos dan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

JWP menegaskan penghayatan kemerdekaan tidak seharusnya bersifat bermusim, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui semangat perpaduan, keharmonian serta penghargaan terhadap keamanan dan kemakmuran negara.