Dulu tarbiyah ajar adab tapi kini kata kesat jadi wirid, orang lama Pas pun mula pelik

Kalau dulu tarbiyah Pas sering dikaitkan dengan adab, akhlak dan disiplin berjemaah, kini lain pula halnya.

Seorang pengguna Threads, al.amiriy, mendakwa beliau mengikuti tarbiah Pas sejak kecil dan masih mengingati bagaimana politik beradab serta soal akhlak sangat ditekankan oleh pimpinan terdahulu.

Namun, beliau mula tertanya-tanya apa sebenarnya sudah berlaku apabila menyaksikan perubahan nada sebahagian pimpinan Pas hari ini yang disifatkannya semakin kasar dan terlalu mudah menggunakan bahasa kesat.

“Saya telah ikuti tarbiah Pas sejak kecil. Politik adab dan akhlak sangat ditekankan oleh pimpinan terdahulu.

“Tapi kenapa pimpinan hari ini mulut dan bahasa terlalu buruk? Apa yang berlaku?” tulisnya yang meraih perhatian warganet.

Beliau turut membandingkan suasana politik Pas hari ini dengan era Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak menyaksikan keceloparan melampau seperti sekarang.

Wala dan ekstremisme

Malah, beliau berkongsikan tangkap layar kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menggunakan perkataan “kepala bana”.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula selamba mengucapkan kata “celaka”.

Turut pernah mengejutkan orang ramai apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud yang menyebut tentang “main punggung”.

Susulan hantaran ahli Pas berkenaan, pelbagai reaksi termasuk daripada mereka yang mendakwa pernah rapat atau menyokong parti itu membanjiri ruangan komentar.

Bahkan, seorang sasterawan tanahair terkenal yang pernah menyokong Pas turut meluahkan isi hatinya.

“Saya pun Pas dulu. Sekarang dah tak ada tarbiah yang waras. Yang ditekankan wala dan ekstremisme saja,” tulis Dr Faisal Tehrani.

Seorang lagi pengguna, theaorta88, menyindir keadaan itu dengan mengatakan orang Pas sekarang mempunyai kebolehan luar biasa apabila mampu mencarut dan bertakbir dalam satu nafas.

Ada juga yang memilih nada lebih serius dengan mengingatkan bahawa setiap bait kata akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

Dalam masa sama, pengguna lain mempersoalkan bagaimana parti yang membawa nama Islam boleh pada masa sama dilihat begitu selesa dengan budaya maki hamun dan bahasa kasar.