Jadi mangsa penipuan kemudian diburu sebagai ‘keldai akaun’ – MHO rayu JSJK satukan siasatan

FOTO BERITA: Penyerahan Surat Representasi & Sidang Media oleh MHO kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 27hb Ogos 2026 (Khamis)

Sudahlah mendakwa menjadi mangsa penipuan, ada individu kini terpaksa pula berdepan pelbagai laporan polis dan siasatan di beberapa negeri selepas akaun bank mereka digunakan sindiket jenayah.

Nasib kumpulan terbabit mendapat perhatian Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang hari ini menyerahkan surat representasi kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM di Menara KPJ, Jalan Tun Razak.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada individu yang mendakwa diperdaya sebelum akaun mereka digunakan untuk transaksi yang tidak diketahui sepenuhnya, sekali gus menyebabkan mereka dikaitkan sebagai keldai akaun.

Lebih membebankan, katanya, seorang individu boleh berdepan beberapa laporan polis di daerah dan negeri berbeza walaupun transaksi, akaun bank, individu terlibat serta modus operandi dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama.

Sehubungan itu, MHO merayu JSJK Bukit Aman mempertimbangkan supaya kes-kes yang mempunyai kaitan jelas diselaraskan dan disatukan di bawah satu siasatan bersepadu, bukannya disiasat secara berasingan.

Menurut MHO, pendekatan itu bukan sahaja membolehkan penyiasat melihat keseluruhan aliran transaksi dengan lebih jelas, malah membantu mengenal pasti pihak yang benar-benar mengawal akaun dan dalang di sebalik sindiket berkenaan.

MHO berpandangan siasatan secara berasingan berisiko menyebabkan fakta penting dinilai secara terputus-putus, selain mengakibatkan pertindihan siasatan, pengambilan keterangan berulang serta penggunaan sumber penguatkuasaan yang kurang optimum.

Pada masa sama, pertubuhan itu menegaskan kehadiran mereka bukan bertujuan mempertikaikan kuasa polis, sebaliknya mahu memastikan individu yang benar-benar menjadi mangsa tidak terus menanggung akibat perbuatan sindiket sebenar.

“Keadilan bukan sekadar perlu ditegakkan, malah perlu dilihat sedang ditegakkan demi memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan negara,” menurut kenyataan itu.

MHO berharap penelitian menyeluruh terhadap semua laporan berkaitan dapat membantu pihak berkuasa membezakan antara individu yang sengaja bersubahat dengan sindiket dan mereka yang benar-benar diperdaya sebelum akaun mereka disalahgunakan.