PMX teruskan siri muzakarah, pastikan dasar kerajaan dipandu ilmu dan nasihat ulamak

Dalam kesibukan menguruskan pentadbiran negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bersama golongan agamawan sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.

Menerusi perkongsian di media sosial, Anwar berkata beliau meneruskan siri muzakarah bersama para agamawan untuk mendengar nasihat, menimba hikmah dan menyelami pandangan mengenai perjalanan serta masa depan Islam di Malaysia.

Menurut Anwar, dialog seperti itu bukan sekadar pertemuan tetapi ruang untuk bermuhasabah agar setiap ikhtiar kerajaan sentiasa dipandu ilmu, diluruskan dengan nasihat dan diperhalusi mengikut keperluan umat serta tuntutan zaman.

Dalam kesempatan itu, beliau turut berpeluang bertemu Syeikh Dr Muhyiddin Awwamah yang mewakili Darul Hadis al-Awwamiyyah.

Syeikh Dr Muhyiddin merupakan anakanda kepada ulama besar dan pakar hadis tersohor, Al-‘Allamah Syeikh Muhammad bin Awwamah.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas beberapa kitab karya ayahanda Syeikh Dr Muhyiddin yang diterimanya sebagai pemberian.

Beliau menyifatkan pemberian itu bukan sekadar naskhah bertinta, tetapi warisan ilmu yang menghubungkan generasi serta menyambung mata rantai tradisi keilmuan Islam.

Anwar berkata, beliau berharap pertemuan itu menjadi jalan kecil menuju manfaat yang lebih besar.

“Agama sentiasa subur apabila kekuasaan sudi mendengar suara ilmu, dan ilmu terus menjadi pelita kepada perjalanan umat,” katanya.