Sanusi bukan cerminan pemimpin ISLAM, Pas jangan terus membisu — Amanah Johor
JOHOR BAHRU — AMANAH Johor menyifatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bukan cerminan seorang pemimpin Islam berikutan penggunaan bahasa kesat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan makian dan bahasa keterlaluan.
Menurut beliau, tindakan sedemikian langsung tidak mencerminkan akhlak dan adab yang sewajarnya dimiliki seorang pemimpin, lebih-lebih lagi apabila datang daripada parti yang membawa identiti Islam.
AMANAH Johor turut menyangkal dakwaan Sanusi yang seolah-olah menyalahkan pentadbiran Kerajaan MADANI berhubung kewujudan perjudian di negara ini.
Aminolhuda berkata, lesen perjudian telah wujud sejak sebelum pentadbiran Anwar. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah kerajaan semasa yang memulakannya.
Beliau menegaskan pemimpin politik mempunyai tanggungjawab memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.
Katanya, kerajaan boleh dikritik dengan tegas, tetapi batas adab, kesopanan dan penghormatan terhadap sesama manusia tidak boleh diketepikan hanya kerana perbezaan politik.
AMANAH Johor turut mempersoalkan sikap PAS yang dilihat tidak memberikan teguran tegas terhadap kenyataan Sanusi.
“Jika benar PAS mahu dilihat sebagai parti yang membawa nilai dan prinsip Islam, pemimpinnya juga perlu ditegur apabila melampaui batas dalam pertuturan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Aminolhuda, budaya mencaci, memaki dan mencetuskan kontroversi bukan ukuran keberanian seseorang pemimpin.
Sebaliknya, keberanian sebenar ialah kemampuan untuk berbeza pandangan menggunakan hujah, fakta dan adab tanpa menghasut kebencian dalam kalangan rakyat.
AMANAH Johor menyeru semua pemimpin mengembalikan politik negara kepada budaya lebih matang dan berakhlak kerana rakyat memerlukan kepimpinan yang menyelesaikan masalah, bukannya berlumba mengeluarkan kata-kata kesat.