Selepas MCA Perak mohon maaf isu bendera terbalik, ini respons Akmal

Permohonan maaf dan peletakan jawatan seorang kakitangan MCA Perak tidak harus menamatkan isu pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Perak secara terbalik di ibu pejabat parti itu di Ipoh, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh.

Beliau yang sebelum ini dikenali lantang bersuara termasuk mengetuai himpunan semasa isu bendera terbalik di Pulau Pinang tahun lalu, mahu pihak polis meneruskan siasatan dan hasilnya dimaklumkan kepada rakyat.

Dalam masa sama, Akmal menggesa kerajaan memperketatkan undang-undang serta mengenakan hukuman lebih berat terhadap mereka yang sengaja melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya nak tanya kepada MCA, takkanlah itu saja? Takkan biar itu saja?” kata Ketua Umno Bahagian Jasin itu menerusi hantaran video di Facebook.

Akmal menegaskan pendiriannya terpakai kepada semua pihak tanpa mengira hubungan politik atau kaum.

“Saya tetap konsisten, sama ada kamu kawan, lawan atau siapa sekalipun, tak kisahlah warna kulit apa, warna politik apa sekalipun.

“Apabila cuba untuk memperlekehkan bendera kita ini, tindakan sebegini tidak boleh kita terima,” ujarnya.

Terdahulu, MCA Perak memohon maaf selepas Jalur Gemilang dan bendera Perak dipasang secara terbalik di ibu pejabatnya di Ipoh.

Pengerusinya, Dr Mah Hang Soon berkata, kejadian itu berpunca daripada kesilapan seorang kakitangan berusia yang ditugaskan memasang kedua-dua bendera sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Katanya, kedua-dua bendera segera diturunkan dan dipasang semula dengan betul selepas kesilapan itu disedari.

Staf terbabit yang kesal dengan kesilapan itu secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan yang kemudiannya diterima MCA Perak.

BACA JUGA Bendera terbalik di Wisma MCA, Pemuda AMANAH tanya kali ini siapa nak marah?