MB Pas ‘tembak’ PMX isu judi, Sepakat desak Sanusi mohon maaf
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa berhenti mengalihkan kesalahan kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu premis perjudian selepas tindakan pentadbiran negeri menghentikan pembaharuan lesen berkenaan berdepan kekalahan di mahkamah.
Pengerusi Kedah Sepakat, Nor Miswary Ramli berkata, kenyataan Sanusi dalam satu program di Dewan Seri Mentaloon baru-baru ini bukan sahaja sarat dengan bahasa kesat, malah boleh menimbulkan gambaran mengelirukan mengenai kedudukan sebenar lesen perjudian di Kedah.
Menurutnya, seorang Menteri Besar sepatutnya memberikan penjelasan secara matang dan beradab, khususnya apabila membicarakan isu dasar serta perkara sensitif melibatkan agama dan moral.
“Bahasa dan ungkapan yang kesat itu tidak wajar dan tidak mencerminkan tatasusila seorang pemimpin negeri.
“Menteri Besar sepatutnya menjadi contoh dalam berhujah secara matang dan beradab, bukan menghambur kata-kata yang lebih menyerupai ceramah politik jalanan berbanding penjelasan dasar rasmi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular sedutan ucapan Sanusi di Seri Mentaloon yang menggunakan perkataan “celaka” dan “pecah perut” ketika menyentuh isu lesen premis perjudian di negeri itu.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dilihat mengajak orang ramai mendoakan keburukan terhadap individu tertentu.
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkaitan perkara terbabit.
Mengulas lanjut, Nor Miswary turut menolak gambaran bahawa kerajaan Persekutuan meluluskan lesen perjudian baharu atau menambah bilangan premis perjudian di Kedah.
Beliau berkata, berdasarkan penjelasan Kementerian Kewangan yang dirujuk pihaknya, tiada lesen baharu dikeluarkan dan jumlah lesen sedia ada adalah berdasarkan kelulusan yang telah wujud sejak 1990-an.
Katanya, perkara yang perlu dijelaskan kepada rakyat ialah tindakan kerajaan Kedah menghentikan pembaharuan lesen tersebut telah dicabar melalui proses perundangan, sebelum kerajaan negeri gagal dalam tindakan mahkamah berkenaan.
Kuasa
Beliau turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa menentukan keputusan badan kehakiman kerana sistem negara mengamalkan pemisahan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.
“Datuk Seri Sanusi perlu jujur menjelaskan kepada rakyat Kedah punca sebenar kekalahan pentadbirannya di mahkamah, bukan mengalihkan kesalahan kepada pihak lain,” katanya.
Dalam masa sama, Nor Miswary membangkitkan rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, kerajaan PN pernah meningkatkan kekerapan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun, sebelum jumlah itu dikurangkan semula kepada lapan kali di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Sehubungan itu, Kedah Sepakat mendesak Sanusi memohon maaf atas penggunaan bahasa yang dianggap keterlaluan selain menghentikan budaya politik yang mempergunakan isu sensitif agama dan moral untuk menyerang pihak lawan.
“Rakyat negeri Kedah berhak mendapat kepimpinan yang jujur, matang dan bertanggungjawab, bukan retorik kosong yang mengelirukan,” kata kata gerakan massa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum itu lagi.
BACA JUGA Selepas MCA Perak mohon maaf isu bendera terbalik, ini respons Akmal