Umno-BN politik sakau, Pas pula politik pukau, penyokong macam kena jampi
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad menyifatkan politik Melayu ketika ini berdepan dua penyakit besar yang dilabelkannya sebagai “politik sakau” dalam Umno-BN dan “politik pukau” dalam Pas.
Beliau menegaskan bahawa istilah “politik pukau” sesuai menggambarkan keadaan apabila apa sahaja dilakukan pemimpin Pas terus dipertahankan penyokong mereka tanpa ruang untuk ditegur atau dinilai secara rasional.
“Ini kerana apa saja Pas buat, penyokong mereka macam terpukau. Tak boleh tegur, semua betul.
“Macam kena jampi atau kena sihir sehingga mereka tak boleh fikir rasional,” katanya dalam program Bicara Haji Khalid Samad yang disiarkan menerusi Jom Channel, malam ini.
Beliau mengambil contoh kontroversi membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyalahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan Pas sendiri pernah berada dalam kerajaan Persekutuan selama kira-kira tiga tahun.
“Contohnya, isu Sanusi. Dia macam lupa, tiga tahun kamu jadi kerajaan, kenapa tak ubah undang-undang ketika itu?
“Tiba-tiba buat cara tidak betul, marahkan pula PMX sampai doa pecah perut. Tapi ada orang sokong. Itu yang saya katakan macam kena pukau,” katanya.
Masih sokong
Khalid berpendapat politik sedemikian akhirnya menyebabkan sebahagian masyarakat terus mempertahankan sesuatu tindakan walaupun jelas bercanggah dengan nilai dan akhlak yang sering ditekankan dalam politik berteraskan agama.
“Politik pukau ini membodohkan orang Melayu sehinggakan perkara yang tidak betul pun, masih sokong.
“Akhlak apa ni? Tapi penyokong dia masih sokong. Masih kena pukau,” tegasnya.
Beliau turut membangkitkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang baru-baru ini menggunakan perumpamaan berkaitan anjing sekampung yang bergaduh sesama sendiri tetapi segera menghentikan perseteruan apabila muncul rusa, kijang atau anjing dari luar kampung.
“Macam minggu lepas Haji Hadi kata contohi anjing. Bukan perpaduan atas dasar ukhuwah Islam, tidak. Hanya untuk halau PH. Itu saja.
“Selepas PH dah ‘out’, gaduh balik. Apa punya hujah ni? Tapi orang dia masih ikut lagi, masih dipukau,” tempelaknya.
Khalid menyifatkan budaya sakau dan pukau itu akhirnya menenggelamkan politik Melayu yang sepatutnya menilai pemimpin berdasarkan integriti, nilai, akhlak serta prestasi pentadbiran.
“Golongan sakau dan pukau ini menenggelamkan budaya politik Melayu yang mementingkan persoalan nilai dan prestasi,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Ibu Hamzah meninggal dunia, PMX dan Wan Azizah titip doa buat keluarga