Melon jadi ‘Buah Rasmi’ MAHA 2026, varieti baharu bakal dilancar

FOTO BERITA: Program Food Tasting Melon Malaysia bersama media. Turut hadir Pengerusi FAMA Tuan Hj Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus Media di Kingdom Of Agrofood, MAEPS Serdang Selangor. 28hb Ogos 2026 (Jumaat)

Melon dipilih sebagai Fruit of the Event bagi Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show (MAHA) 2026, sekali gus menjadi antara tarikan utama pengunjung di Kingdom of Agrofood, MAEPS, Serdang.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tuan Haji Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata, pemilihan melon sebagai buah simbolik MAHA tahun ini turut diserikan dengan pengenalan satu varieti baharu yang akan diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menurutnya, bentuk varieti baharu itu sudah boleh dilihat pengunjung, namun namanya hanya akan diumumkan pada majlis pelancarannya.

“Esok malam kita akan ada melon terbaru yang akan diumumkan namanya. Bentuknya boleh dilihat hari ini, cuma namanya akan diumumkan esok,” katanya pada sidang media sempena Program Food Tasting Melon Malaysia bersama media di Kingdom of Agrofood, MAEPS, semalam.

Beliau berkata, MAHA 2026 turut mengetengahkan kepelbagaian melon tempatan yang semakin berkembang dari segi bentuk, saiz, warna dan rasa bagi memenuhi cita rasa pengguna.

Sementara itu, FAMA memaklumkan kira-kira 150 metrik tan melon dirancang untuk dibawa sepanjang penganjuran MAHA 2026 dengan kerjasama pengusaha tempatan.

Lebih 100 varieti melon turut dipersembahkan kepada pengunjung, termasuk varieti bersaiz kecil yang semakin mendapat permintaan kerana lebih praktikal untuk dimakan dalam kuantiti atau portion lebih kecil.

Varieti baharu yang bakal diperkenalkan itu antaranya mempunyai saiz lebih kecil, tahap kemanisan sekitar 18 dan tekstur rangup atau crunchy, selepas melalui proses penyelidikan selama kira-kira tiga tahun.

Abang Ahmad Kerdee turut menarik perhatian kepada tembikai berbentuk hati yang dipamerkan apabila setiap pokok dikatakan hanya menghasilkan satu buah selepas tempoh penanaman sekitar tiga bulan.

Menurut beliau, buah berkenaan mempunyai isi merah, rasa manis serta tekstur rangup dan menjadi antara produk unik yang berpotensi mencuri perhatian pengunjung MAHA 2026.

Program Food Tasting itu diadakan bagi memberi peluang kepada pengamal media merasai sendiri pelbagai varieti melon sebelum produk-produk berkenaan diketengahkan secara lebih meluas kepada pengunjung sepanjang MAHA 2026.