Umno buka pintu rundingan dengan parti lain, Pas pula diundang ke PAU 2026

Umno membuka ruang kepada kepimpinan negeri untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik menjelang pilihan raya akan datang.

Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi.

Menerusi kenyataan tengah malam tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa sebarang kerjasama politik mesti berasaskan keikhlasan dan kepercayaan.

“Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihanraya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat sama, Umno bersetuju menjemput kepimpinan tertinggi Pas menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2026.

Jemputan itu dibuat sebagai tanda penghormatan kepada kepimpinan Pas.

Ia juga sebagai membalas jemputan Pas kepada kepimpinan Umno untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas.

Sementara itu, katanya, Perhimpunan Agung Umno 2026 akan berlangsung dari 9 hingga 12 September.

Tiga program utama akan diadakan sehari lebih awal pada 8 September iaitu Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.

Mesyuarat MKT turut menyaksikan pelantikan Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

BACA JUGA Umno-BN politik sakau, Pas pula politik pukau, penyokong macam kena jampi