Bintang 13 bucu di baju Sanusi dipersoal, Urus Setia Penerangan Darul Aman menggelabah padam

Ketika isu kesilapan Jalur Gemilang masih menjadi bahan perdebatan politik, baju yang dipakai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menjadi perhatian pengguna media sosial.

Gambar pemimpin Pas berkenaan dirakam ketika program Pelancaran Perarakan Bot Merdeka Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan di Kedah semalam.

Dalam gambar yang dikongsikan semula di Facebook, Sanusi dilihat mengenakan baju bercorak Jalur Gemilang dengan lambang bulan dan bintang di bahagian hadapan.

Namun, netizen mempersoalkan reka bentuk bintang pada pakaian tersebut yang hanya mempunyai 13 bucu sekaligus tidak melambangkan perpaduan 13 negeri bersama Kerajaan Persekutuan.

Gambar yang tular itu turut ditandakan dengan nombor pada setiap bucu bagi menunjukkan kiraan berkenaan.

Susulan kecaman warganet, semakan di Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) mendapati hantaran memaparkan gambar Sanusi mengenakan pakaian dengan lambang bintang berbucu 13 itu telah dipadam.

“14 bucu melambangkan perpaduan antara 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Pengeluar t-shirt tidak bertanggungjawab, urus setia pun tidak cerdik dan kurang teliti hal-hal ini,” komen Suraya Shamir di ruangan komentar Facebook UPDA itu.

Selain itu, ada turut mempersoalkan tiadanya kenyataan permohonan maaf berhubung muatnaik gambar tersebut.

BACA JUGA Konon pakcik B40 kecewa nak isi minyak, kantoi penyokong Umno membongak, ramai dedah kuota masih berbaki