MAHA 2026 bukan biasa-biasa, RM8 billion MOU bakal dimeterai, China sahaja RM4 bilion

Sebanyak 121 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM8 bilion dijangka dimeterai sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM4 bilion membabitkan kerjasama dengan China manakala selebihnya negara lain.

Beliau berkata kerjasama itu merangkumi pertukaran teknologi, peluang pelaburan, pembangunan kapasiti serta latihan kepada peladang termasuk bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain membuka peluang eksport produk agromakanan tempatan.

Selain itu, beliau berkata, MAHA Go Global turut menjadi antara platform untuk memperluas pasaran produk tempatan, khususnya ke Asia Tengah dan Eropah Timur.

“Kita berharap MAHA Go Global termasuk FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dapat memainkan peranan lebih hebat pada masa akan datang supaya barangan keluaran di Malaysia boleh dipasarkan di negara disebutkan, yang kita masih agak ketinggalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA 2026 hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak.

Mohamad berkata nanas dan durian antara produk tempatan yang berpotensi besar untuk diperluas ke pasaran antarabangsa.

Jelasnya, eksport nanas kini melebihi RM1 bilion manakala permintaan durian di China masih tinggi dan mempunyai ruang untuk dikembangkan.

BACA JUGA Bintang 13 bucu di baju Sanusi dipersoal, Urus Setia Penerangan Darul Aman menggelabah padam