Aminolhuda : Jika Pas ada nilai Islam, patut tegur politik caci, maki Sanusi

Penggunaan bahasa kesat dalam pertikaian politik tidak seharusnya dianggap sebagai tanda keberanian pemimpin, kata Amanah Johor ketika mempersoalkan pendirian Pas berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri  Anwar Ibrahim.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, jika Pas mahu dikenali sebagai parti yang membawa nilai dan prinsip Islam, pemimpin dalam parti itu juga wajar ditegur apabila melampaui batas dalam pertuturan.

“Keberanian sebenar ialah mampu berbeza pandangan dengan hujah, fakta dan adab, tanpa menghasut kebencian dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aminolhuda, budaya mencaci, memaki dan mencetuskan kontroversi tidak boleh dijadikan ukuran keberanian seseorang pemimpin.

Sebaliknya, katanya, rakyat memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan masyarakat dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya berlumba-lumba mengeluarkan kata-kata kesat.

Aminolhuda yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata, kritikan terhadap kerajaan tetap boleh dibuat dengan tegas, namun perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan adab dan kesopanan.

“Pemimpin politik mempunyai tanggungjawab untuk memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.

“Perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan bahasa yang keterlaluan,” katanya.

Dalam pada itu, AMANAH Johor turut menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan Sanusi yang didakwa menggunakan bahasa kesat dan makian terhadap Anwar.

Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan akhlak dan adab yang sewajarnya dimiliki seorang pemimpin, khususnya daripada parti yang membawa identiti Islam.

Isu lesen judi

Pertikaian itu turut berkait dengan isu lesen premis perjudian di Kedah selepas Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkaitan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.

Mahkamah turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000 selepas panel tiga hakim memutuskan bahawa kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Susulan keputusan itu, Sanusi didakwa menyalahkan Anwar berhubung isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.

Aminolhuda bagaimanapun menolak dakwaan bahawa Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Anwar merupakan pihak yang memulakan kewujudan kegiatan perjudian berlesen.

“AMANAH Johor juga menyangkal dakwaan Muhammad Sanusi yang menuding seolah-olah Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Anwar yang memulakan judi sedangkan lesen judi sudah wujud sejak dari zaman Malaysia Merdeka, kenapa PMX yang dipersalahkan?” katanya.

Menurutnya, kritikan terhadap kerajaan sepatutnya disampaikan berdasarkan hujah dan fakta, tanpa mengheret masyarakat kepada budaya permusuhan serta kebencian.

Aminolhuda pada masa sama menyeru semua pemimpin politik supaya mengembalikan politik negara kepada budaya yang lebih matang dan berakhlak.

BACA JUGA Banjir Nepal: Malaysia hantar SMART untuk cari rakyat, AS$1 juta turut disalur