Peniaga kecil dapat nafas baharu: RM200 juta geran, dana mikro kini RM6 bilion
Penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan yang menjalankan perniagaan dari rumah bakal menerima manfaat daripada Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta yang diumumkan kerajaan.
Inisiatif itu merupakan antara enam langkah baharu yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, dengan tumpuan membantu golongan yang masih berdepan tekanan dalam meneruskan kelangsungan perniagaan.
Anwar berkata kerajaan turut menambah RM1 bilion kepada kemudahan pembiayaan perniagaan mikro bagi 2026, menjadikan jumlah keseluruhan dana meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
“Masih ada keluhan di antara kalangan peniaga-peniaga kecil, pengusaha kecil, ibu-ibu di rumah yang bekerja dari rumah dan pasar-pasar malam.
“Maka dengan ini diperkenalkan Geran Sejahtera MADANI RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang berniaga dari rumah,” katanya.
Langkah tersebut dilihat memberi tumpuan kepada kelompok peniaga yang lazimnya beroperasi dalam skala kecil tetapi menjadi sumber pendapatan penting kepada keluarga.
Selain geran, peningkatan dana pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion dijangka memberi lebih banyak ruang kepada usahawan kecil mendapatkan modal bagi mengembangkan atau mengekalkan operasi perniagaan masing-masing.
Kerajaan turut mengambil langkah berkaitan pematuhan cukai bagi mengurangkan beban perusahaan kecil dan sederhana apabila ambang pengecualian e-Invois dinaikkan sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Dengan perubahan itu, perniagaan yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.
Keseluruhan inisiatif berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 September 2026.
Menurut Anwar, langkah yang diumumkan kerajaan itu berpaksikan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang kembali kepada rakyat.
“Pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
BACA JUGA Sekolah jangan lagi terbiar? Kerajaan tambah RM500 juta untuk baiki prasarana 2027