Jerebu masih ada, sambutan merdeka di Putrajaya esok tetap jalan seperti biasa

Keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan tidak mengubah perancangan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya apabila acara berkenaan dijadualkan berlangsung seperti biasa esok.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas bersama beberapa agensi semalam selepas mengambil kira keadaan jerebu di lokasi sambutan.

“Kita telah membuat keputusan bahawa sekiranya keadaan (jerebu) seperti yang sedia ada pada pagi ini dan semalam, kita akan teruskan dengan acara pada hari Isnin (31 Ogos),” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata penilaian terhadap keadaan jerebu akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung diberi perhatian.

Fahmi berkata antara langkah yang mungkin dipertimbangkan ialah pembenihan awan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), namun pelaksanaannya bergantung kepada keadaan cuaca.

“(Pembenihan awan) akan bergantung sama ada terdapat awan yang boleh dibenihkan. Jadi penilaian daripada pihak NADMA itu akan dimaklumkan kepada pihak jawatankuasa.

“Kita harap menjelang hari ini dan esok boleh diadakan pembenihan awan, tetapi semua tertakluk kepada pandangan dan dapatan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.

Fahmi berkata sambutan kali ini dijangka menarik lebih 80,000 pengunjung, antaranya disebabkan cuti sekolah serta pelbagai kemudahan pengangkutan yang disediakan pihak penganjur.

Menurutnya, Prasarana Malaysia Bhd menyediakan perkhidmatan MRT selama 24 jam bagi memudahkan orang ramai menuju ke Putrajaya.

Selain itu, bas ulang-alik dari stesen MRT ke tapak sambutan dan perkhidmatan water taxi turut disediakan sebagai pilihan kepada pengunjung.

“Tahun ini pihak Prasarana Malaysia Bhd menyediakan kemudahan pengangkutan MRT selama 24 jam, jadi ramai yang nak datang, ia akan memudahkan mereka untuk datang.

“Kita juga ada mod transportasi seperti bas-bas yang disediakan daripada stesen MRT ke tapak dan juga water taxi. Jadi banyak daripada kemudahan ini disediakan dan kita percaya ramai yang akan hadir,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.

Walaupun sambutan diteruskan setakat ini, keadaan jerebu akan terus dipantau dan sebarang tindakan lanjut akan bergantung kepada penilaian agensi berkaitan.- BERNAMA.

BACA JUGA Peniaga kecil dapat nafas baharu: RM200 juta geran, dana mikro kini RM6 bilion