Sambutan Hari Kebangsaan meriah, Anwar luang masa berjalan 500 meter santuni rakyat
Tidak seperti kebiasaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencuri perhatian ramai apabila berjalan sejauh 500 meter bagi menyantuni orang ramai yang hadir dalam program sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pagi ini.
Ketika ditemui pemberita, Anwar memuji penganjuran Hari Kebangsaan 2026 hari ini dengan menyifatkan persembahan yang ditampilkan lebih 10,819 peserta sebagai yang terbaik.
Komitmen hebat ditampilkan keseluruhan peserta itu bukan sahaja berjaya menuai pujian Perdana Menteri, malah turut mencerminkan semangat patriotisme dan kebanggaan terhadap negara sempena kemerdekaan yang diraikan pada hari ini.
“Alhamdulillah, persembahan yang baik. Terima kasih banyak. Hebat, hebat,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa menyapa orang ramai yang berada di sepanjang laluan, selain melayan sapaan dan sambutan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bertemu pemimpin nombor satu negara.