Rakyat luah lega, sambut baik pengumuman PMX kembalikan 300 liter
Pengumuman kerajaan mengembalikan kelayakan asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan disambut baik orang ramai.
Menerusi tinjauan di Threads, pengguna menyifatkan pengembalian kuota itu sebagai satu kelegaan, terutama bagi mereka yang banyak menggunakan kenderaan untuk urusan harian dan perjalanan jauh.
Ada yang meluahkan rasa syukur dengan keputusan berkenaan, malah tidak kurang yang menganggap tambahan 100 liter itu sebagai berita baik untuk pengguna RON95.
Antara reaksi yang dikongsikan pengguna Threads termasuk ucapan ringkas “Alhamdulillah” susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Pengumuman berkenaan dibuat Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya semalam.
Kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, berkuat kuasa 1 September ini.
Langkah itu sekali gus mengembalikan kuota asal selepas kerajaan sebelum ini menyelaraskannya daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan mulai 1 April lalu berikutan ketidaktentuan bekalan minyak global.
Di Threads, reaksi positif mula kelihatan selepas pengumuman tersebut, dengan beberapa pengguna secara terbuka menyambutnya sebagai perkembangan yang melegakan.
Bagi pengguna yang bergantung kepada kenderaan untuk berulang-alik bekerja atau melakukan perjalanan jarak jauh, tambahan 100 liter itu dilihat dapat memberi lebih ruang dalam perbelanjaan bahan api bulanan.
Malah, ada yang terus menyifatkan keputusan itu sebagai satu berita baik dan mengucapkan penghargaan kepada kerajaan.