Bila Orang Temiar cerita erti merdeka, rupanya bukan sekadar tentang 31 Ogos
Bagi masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Balar, Kelantan, sambutan Merdeka bukan sekadar tentang mengibarkan Jalur Gemilang atau mengingati tarikh 31 Ogos setiap tahun.
Selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan, perubahan yang berlaku dalam kehidupan mereka menjadi antara gambaran paling nyata tentang bagaimana pembangunan turut sampai ke kawasan pedalaman.
Komuniti Temiar di Pos Balar yang ditemui baru-baru ini mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan, sambil berkongsi perubahan yang mereka saksikan sepanjang puluhan tahun.
Kampung yang suatu ketika dahulu serba kekurangan kini menikmati pelbagai kemudahan asas, akses pendidikan yang lebih baik serta peluang ekonomi yang semakin berkembang.
Perubahan itu paling ketara dari segi kemudahan prasarana dan pendidikan yang menjadi antara pemangkin penting kepada peningkatan taraf hidup masyarakat Orang Asli.
Jika dahulu akses ke kawasan pedalaman menjadi antara cabaran utama, kemudahan jalan perhubungan desa hari ini membantu menghubungkan komuniti dengan kawasan luar.
Begitu juga dengan bekalan air bersih dan elektrik serta jaringan komunikasi yang semakin meluas, sekali gus mengubah cara masyarakat menjalani kehidupan seharian.
Akses kepada pendidikan pula membuka ruang yang lebih besar kepada generasi muda Orang Asli untuk mendapatkan ilmu dan mengejar peluang yang sebelum ini mungkin sukar dicapai.
Bagi komuniti Temiar, perubahan tersebut menjadi sebahagian daripada makna kemerdekaan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
Jalur Gemilang yang dikibarkan di Pos Balar bukan sekadar simbol sambutan Bulan Kebangsaan, tetapi turut menjadi lambang sebuah perjalanan panjang masyarakat pedalaman yang menyaksikan kampung mereka berubah seiring dengan pembangunan negara.
Selepas 69 tahun merdeka, erti kebebasan bagi mereka akhirnya dapat dilihat bukan hanya pada sejarah negara, tetapi pada kemudahan yang hadir, pendidikan yang semakin terbuka dan kehidupan yang perlahan-lahan menjadi lebih baik.- BERNAMA
BACA JUGA Urus Setia Hari Kebangsaan jawab isu kehadiran Tun M, ini cerita sebenarnya